Bahasa Oh! Bahasa

1955

(Gambar – Keranda 152 merujuk kepada perarakan bantahan para pejuang Bahasa Melayu terutama penulis dari Dewan Bahasa dan Pustaka yang mencapai kemuncaknya pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya)

Oleh: Dr Azman Ibrahim

Bahasa adalah medium interaksi yang paling penting antara sesama manusia. Biasa kita dengar ungkapan, “bercakaplah dengan bahasa pendengar di hadapan kita.” Maknanya sangat mendalam dan luas tafsirannya.

Bila kita bercakap dengan sekumpulan kanak-kanak, maka bahasa kita adalah bahasa kanak-kanak dengan segala lenggok dan seni seorang kanak-kanak. Bukan dengan gaya seorang pemidato hebat atas pentas ceramah yang menyusun seni bahasa lengkap dengan segala argumen, hujah dan dalil serta sumber rujukan. Bimbang kanak-kanak akan tanya, “Pak Cik dah makan ubat hari ni?”

Kita masuk kampung jumpa penoreh getah, maka topik percakapan kita adalah hal-hal getah dan cerita orang kampung. Tak perlu nak bincang hal Pelaburan Langsung Asing (FDI) atau cerita hal kita pergi konferen dan meeting di England dan Istanbul. Orang kampung dengar sambil terlopong. Belakang kita orang jebeh! Nak berlagak kononnya mari cerita hal dia pergi England kat kita. Kita hari-hari masuk ‘in gelam’ cari kayu gelam buat para tanam sayur pun tak menyohor.

Jumpa pesawah atas batas bendang, maka topik kita adalah hal padi. Hal benih padi, siput gondang emas, tikus, racun padi, mesin padi, taliair dan macam macam lagi. Tak kan kita nak bercakap hal topik 1MDB dan DOJ dalam baruh padi. Lagi pening kalau kita nak cerita berkaitan hasil kajian Pricewater House Coopers terhadap prestasi ekonomi Negara. Nanti orang kampung kata, “setakat water dalam taliair kami tahu, Pricewater House tu menatang ape??” Perkataan menatang bukan kasar bagi orang Terengganu. Ia mengambarkan kemesraan dan hubungan erat antara 2 orang yang bercakap.

Dalam wad di sebuah hospital, seorang doktor muda yang handsome dan bergaya sedang terkial-kial menerangkan mengenai masalah kesihatan dan rawatan yang perlu kepada seorang Pak Cik tua lulusan darjah 2 sekolah Melayu dengan menggunakan segala macam istilah saintifik perubatan. Bangga rasanya doktor muda ini bila boleh menunjukkan kehebatan ilmu perubatannya dengan segala istilah yang pelik-pelik. Akhirnya Pak Cik ini jawab, “Doktor… Pok Cik ada penyakit kencing manis dengan darah tinggi. Tapi bila dengar doktor cerita lagu ni, rasanya Pok Cik boleh kena sakit jantung pulok!”

Bila saya buat latihan praktikal di Hospital Universiti Baghdad, saya berusaha keras untuk menguasai bahasa Arab, bukan setakat bahasa Arab standard tetapi bahasa Arab orang kampung atau bahasa Arab ‘ammi. Kalau tidak macam mana kita nak berinteraksi dengan pesakit? Pesakit kita adalah manusia, bukannya robot atau mesin. Kalau kena pesakit kita orang Arab Baduwi yang mari dari desa, lagi pelik bahasa mereka. Pelik macam mana sekalipun tetap kita perlu belajar dan menguasainya.

Semasa bertugas di Hospital Universiti Sains Malaysia dulu, ada juga kawan sekerja orang asing dari Iraq, Jordan, Palestin, Bangladesh, Myanmar dan Sri Lanka. Mereka tak cuba dengan bersungguh untuk belajar bahasa Malaysia. Akhirnya bayangkanlah bagaimana rakyat marhaen orang kampung kita mendapat rawatan dari doktor yang tak boleh nak bercakap dengan mereka dan mereka tak boleh nak bercakap dengan doktor. Ia lebih teruk dari ayam berinteraksi dengan itik!

Sekarang doktor muda anak tempatan yang baru grad dari kuliah perubatan universiti dalam dan luar negara cukup ramai. Malah ramai lagi yang dah agak lama grad tapi belum dipanggil melaporkan diri bertugas.

Semalam saya jumpa dengan seorang Profesor, ketua satu Jabatan di Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM kubang Kerian. Beliau memaklumkan bahawa graduan perubatan yang baru grad dari USM, hanya dalam 40 peratus lebih sahaja yang telah dipanggil melaporkan diri. Bermakna dengan limpahan graduan baru bidang perubatan, kita tidak lagi bergantung kepada tenaga asing untuk mengisi jawatan Pegawai Perubatan U41 di Kementerian Kesihatan Malaysia. Tidak sepatutnya timbul isu kelulusan Bahasa Malaysia di peringkat SPM.

Saya tak pasti apa status kelulusan Bahasa Malaysia Menteri Kesihatan Malaysia masa periksa SPM dulu. Menarik juga kalau dia boleh bagi tahu. Bukan apa, cuma saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri bahawa cadangan untuk mengecualikan syarat wajib lulus Bahasa Malaysia bagi perlantikan Pegawai Perubatan Kontrak Grad U41 tak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet, tetapi dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Bimbang juga saya kalau Menteri Kesihatan pun tak lulus Bahasa Malaysia SPM. Kalau lulus cemerlang, kira ok lah.