Aziz Sattar Diserang Sakit Jantung

3045

Pelakon veteran Datuk Aziz Sattar, 89, yang dikejarkan ke Hospital Kajang kira-kira pukul 10 malam Ahad akibat serangan jantung berada dalam keadaan stabil dan tidak membimbangkan.

Anak bongsunya, Sandakiah Aziz ketika dihubungi mStar Online pada Isnin bagaimanapun berkata, bapanya masih dirawat Unit Rawatan Koronari (CCU) hospital berkenaan untuk pemerhatian lanjut.

“Alhamdulillah keadaannya stabil dan tidak membimbangkan. Doktor memberitahu ia hanya serangan jantung biasa sahaja.

“Bagaimanapun pihak hospital masih mahu menahannya dalam masa dua ke tiga hari lagi bagi memastikan keadaannya benar-benar pulih sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

aziz sattarTambah Sandakiah, Aziz juga sudah sedarkan diri dan mampu bercakap dengan baik biarpun keadaannya masih lemah.

“Dia okey, berada dalam keadaan sedar dan mampu bercakap seperti biasa dan doktor hanya suruh dia banyak berehat,” katanya.

Dalam pada itu, Sandakiah berkata, Aziz sebelum itu mengadu mengalami sakit dada sebelum rebah akibat diserang sakit jantung ketika berada di rumahnya di Ampang dekat sini.

“Bapa diserang sakit jantung ketika berada dirumah dan sebelum itu dia ada mengadu sakit dada,” jelasnya.

Pelakon itu dikesan menghidap penyakit tersebut sejak dua tahun lalu.