Askar, Kereta Kebal Halang Mogok Ulangtahun Penggulingan Hosni Mubarak

819

Para pembantah yang meminta peralihan lebih cepat kepada pemerintahan awam merancang mengadakan perarakan besar dan keingkaran awam, esok.

Sekurang-kurangnya 15 orang maut dalam satu pertempuran jalanan di Kahirah dan bandar Suez, di timur Mesir, baru-baru ini, menyusuli kematian 74 penyokong dalam satu perlawanan bola sepak.

Majlis tentera yang memerintah telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengatakan ia akan menghantar askar-askar peronda di seluruh negara itu untuk ‘mengekalkan tahap keselamatan… bangunan-bangunan awam, swasta dan negara’.

Leftenan Jeneral Sami Enan, ketua turus tentera, menggesa rakyat Mesir supaya ‘melindungi keselamatan dan kestabilan negara itu menerusi daya kerja dan penghasilan’, lapor agensi berita rasmi MENA.

Perdana Menteri Kamal al-Ganzouri memberitahu satu sidang bahawa gesaan mengadakan keingkaran awam adalah sebahagian daripada satu rancangan untuk ‘menggulingkan negara’ dan berkata semua rakyat Mesir harus bersatu bagi menghadapi krisis dan bahaya yang dihadapi negara itu.

Al-Azhar, sebuah institusi pengajian puak Islam Sunni yang terkenal, turut mengkritik gesaan agar diadakan keingkaran awam, lapor sebuah portal berita al-Ahram, manakala MENA pula berkata Paus Shenouda, ketua gereja puak Gereja Ortodoks Qibti, pernah mengatakan bahawa keingkaran awam bertentangan dengan ajaran agamanya.

Sementara itu, Mesir juga enggan mengalah dalam pertikaiannya dengan Amerika Syarikat berhubung tindakan kerasnya terhadap kumpulan- kumpulan hak asasi, meskipun adanya ancaman Washington akan mengurangkan bantuan.

Para pemimpin tentera Mesir yang memerintah telah bertikai dengan Amerika berhubung kempen Kahirah menentang kumpulan-kumpulan prodemokrasi dan hak asasi yang dibiayai pihak asing sejak lewat tahun lalu.

Pasukan keselamatan Mesir sering melakukan serbuan ke atas ibu pejabat kumpulan-kumpulan itu.

Pihak berkuasa Mesir mendakwa terdapat satu konspirasi asing menentang negara itu untuk menjelaskan protes-protes semakin meluas terhadap prestasi pihak tentera. — Reuters, AP.