Apa Guna Pangkalan Tentera Barat Di Negara Arab Dan Islam?

134

Banyak amaran Allah dan peringatan-Nya kepada umat Islam yang berwala’ (memberi kepercayaan dan kesetiaan) kepada musuh Islam yang nyata dengan sewenang-wenangnya, walaupun dalam keadaan Islam menggalakkan umatnya pendekatan damai dalam hubungan antara kaum, antara agama dan antara negara. Antaranya, firman Allah SWT:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak (pula) mengusir kamu dari negeri kamu. Sesungguhnya, Allah hanyalah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan sebagai teman rapat kamu orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengusir kamu dari negeri kamu, dan membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka sebagai teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8-9]

Ada kalangan negara-negara Islam mengadakan perjanjian dari sudut pentadbiran sehinggalah pertahanan setelah mereka mencapai kemerdekaan dengan negara bekas penjajah, kelompok yang nyata bermusuh terhadap Islam dan penganutnya sejak era pendudukan dan selepasnya, kononnya bagi menjaga keselamatan dan keamanan negara. Antara yang paling banyak ialah kalangan negara-negara Arab yang berbahasa dengan bahasa al-Quran, sehingga mereka membenarkan buminya dijadikan pangkalan tentera bagi mendapat perlindungan keselamatan, pertahanan dan keamanan.

Malah, mereka juga yang paling banyak mendapat bantuan senjata bagi tenteranya dengan perbelanjaan yang mahal daripada kekayaan hasil buminya, sehingga perkara itu dianggap lebih penting daripada keperluan rakyat dan negara-negara jiran bersahabat yang sedang menghadapi masalah kemiskinan akibat bencana yang menimpa.

Pangkalan AS Di Negev, Israel

Peristiwa mutakhir mendedahkan wajah yang sebenar, apabila berlaku serangan Israel ke atas negara berdaulat Qatar bagi membunuh pemimpin Mujahidin Palestin yang sedang berunding bagi membebaskan tawanan perang tentera Israel di bumi Qatar. Apa yang dilakukan itu bukan sahaja diharamkan oleh undang-undang antarabangsa terkini, bahkan mendapat perlindungan diplomatik yang menjadi adat zaman berzaman semenjak sebelum kedatangan Islam lagi. Islam mengharamkan bertindak terhadap para wakil negara musuh yang sedang berunding, antara perkara baik yang dikekalkan oleh Islam sebelum adanya undang-undang antarabangsa terkini.

Di sekitar negara Teluk, bertapaknya pangkalan tentera Amerika Syarikat yang terbesar. Kebanyakan negara-negara Eropah lain yang pernah menjajah juga bertaburan pangkalan tenteranya seperti di negara Arab dan negara Islam yang lain, sehingga mencecah puluhan mungkin juga ratusan pangkalan. Ada juga pihak yang memberi kemudahan khidmat kepada armada laut dan pesawat udaranya yang bertaburan di serata lautan.

Negara-negara penjajah tersebut terlibat secara langsung dalam menubuhkan negara Israel yang nyata ganasnya dengan bantuan senjata yang bertali arus, termasuk senjata pemusnah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa.

Adapun negara-negara bekas jajahan lebih bertujuan untuk dicatur bagi penjajah itu menguasai dunia, khususnya bagi menghalang kebangkitan semula negara Islam menjadi negara yang maju dan kuat.

Mereka juga mendukung penubuhan negara haram Yahudi Zionis dengan merompak bumi Palestin daripada penduduk asalnya dengan melampau ganasnya, bermula dengan membunuh rakyatnya sehinggalah merompak harta atau merosakkannya. Mengikut pengaruh dongeng dan kesesatan Zionis bahawa bangsa Yahudi ialah bangsa termulia pilihan Allah untuk menakluk dunia. Hal ini berlawanan dengan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (Hawwa’); dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling berkenal-kenalan (bermasyarakat). Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]

Penempatan pangkalan tentera tersebut sebenarnya hanyalah bagi melindungi negara haram Israel, serta melindungi kepentingan negara masing-masing seperti telaga minyak dan gas, di samping mengawal laluan perdagangan mereka, bukanlah bagi menjaga keselamatan negara yang memberi tempatnya. Sehinggakan, senjata yang dijualnya kepada negara Arab dan Islam tidak boleh mengatasi kekuatan Israel.

Pangkalan AS Di Iraq

Sebenarnya, Israel menjadi barisan hadapan menentang Islam yang ditumpukan di negara-negara Arab tempat bermulanya Islam, yang juga kaya dengan bahan tenaga (petroleum dan gas) bagi tujuan ekonomi dan ketenteraan negara Barat penjajah itu.

Betapa bermusuhnya mereka terhadap Islam dapat dilihat selepas kejatuhan Shah Iran yang paling akrab dengan Barat dan Israel. Kemenangan Revolusi Islam di Iran yang telah mengubah negara kepada Islam, berlakunya operasi ketenteraan yang ditingkatkan sehingga berlaku dua Perang Teluk yang besar dengan menggunakan semua pangkalan tentera.

Di samping itu, dikerahkan negara-negara Arab di bawah pengaruhnya kerana dianggap bahaya Islam datang daripada semua mazhab, sebenarnya semua itu menjadi ancaman kepada negara Israel. Adapun isu perbezaan mazhab dijadikan batu api bagi melaga-lagakan umat Islam, padahal perbezaan mazhab adalah perkara biasa sejak beberapa abad lamanya.

Negara-negara Arab dan Islam dicatur untuk menyertai operasi menentang Islam atau diadu domba dengan perang saudara bagi dilemahkan sesama mereka.

Terdedah juga dengan terlibatnya Barat dalam serangan ke atas Afghanistan dan Iraq, operasi huru-hara di Syria, Libya, dan Sudan. Begitu juga yang terkini serangan ke atas Yaman, Iran dan Lubnan serta disebarkan propaganda Islamofobia menunjukkan sudah kembali kepada perang salib terhadap Islam tanpa mengira mazhab dan bangsa. Permusuhannya terhadap Islam bukan kerana menegakkan kebenaran dan keadilan, tetapi kerana hasad dengki terhadap Islam yang telah berjaya menyelamatkan rakyat yang dizalimi oleh mereka yang pernah menjadi kuasa besar dunia yang menjajah.

Mereka mempertahankan kezaliman dan keganasan pihak Zionis Israel dan kejahatannya, yang disaksikan oleh seluruh dunia betapa melampau dan tidak berperikemanusiaan sejak zaman purba hingga kini. Firman Allah SWT:

لَوۡلَا يَنۡهَىٰهُمُ ٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ وَٱلۡأَحۡبَارُ عَن قَوۡلِهِمُ ٱلۡإِثۡمَ وَأَكۡلِهِمُ ٱلسُّحۡتَۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَصۡنَعُونَ ٦٣ وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ يَدُ ٱللَّهِ مَغۡلُولَةٌۚ غُلَّتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَلُعِنُواْ بِمَا قَالُواْۘ بَلۡ يَدَاهُ مَبۡسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيۡفَ يَشَآءُۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ طُغۡيَٰنٗا وَكُفۡرٗاۚ وَأَلۡقَيۡنَا بَيۡنَهُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ كُلَّمَآ أَوۡقَدُواْ نَارٗا لِّلۡحَرۡبِ أَطۡفَأَهَا ٱللَّهُۚ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادٗاۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٦٤

“Mengapa orang-orang alim mereka, pendeta-pendeta mereka tidak melarang mereka mengucapkan perkataan bohong dan memakan yang haram? Sesungguhnya, amat buruk apa yang telah mereka kerjakan itu. (63) Orang-orang Yahudi berkata, ‘Tangan Allah terbelenggu’, sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu. (Tidak demikian), tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka; Dia menafkahkan sebagaimana Dia kehendaki. Dan al-Quran yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu sungguh-sungguh akan menambah kederhakaan dan kekafiran bagi kebanyakan antara mereka. Dan Kami telah timbulkan permusuhan dan kebencian antara mereka sampai Hari Kiamat. Setiap mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan. (64)” [Surah al-Ma’idah: 63-64]

Pangkalan AS Di Syria

Mereka bukan sahaja merosakkan agama Allah dan kehidupan manusia, malah mereka juga pembunuh para anbiya’ dan pemimpin yang adil. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ٢١

“Sesungguhnya, orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka bahawa mereka akan menerima seksa yang pedih.” [Surah Ali ‘Imran: 21]

Pangkalan AS di Doha, Qatar

Kumpulan negara penjajah itu bersama manusia perosak dan meletakkannya di barisan hadapan bagi menentang Islam dan umatnya dengan menempatkan sebuah negara bagi kaum yang dimurkai Allah itu. Turut dibekalkan segala senjata yang bertali arus dan membantunya dengan bala tentera.

Seterusnya, merancang berbagai-bagai penipuan atas nama pelan damai dengan menggoda seperti penyelesaian dua negara (two-state solution) yang ditolak oleh Israel dan ‘Deal of The Century’ dengan cara rasuah yang paling besar jumlah kekayaannya bagi mengiktiraf negara Israel dan menghalau rakyat Palestin. Termasuk menggunakan kuasa veto bagi membatalkan segala keputusan PBB terhadap Israel.

Cadangan penyelesaian dua negara dikemukakan selepas diadakan Persidangan Madrid (1991), Perjanjian Damai Oslo (1993 dan 1995), Sidang Kemuncak Camp David (2000), mereka menubuhkan Kerajaan Palestin yang tidak ada tanah air dan tidak berkuasa. Palestin hanya mempunyai menteri kabinet yang menjadi boneka yang dijadikan ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan wakil dalam organisasi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) oleh negara-negara Arab dan Islam yang masih berada di bawah pengaruhnya.

Dilaksanakan amalan demokrasi yang menjadi kebanggaan negara blok Barat yang mendukung Israel dengan penuh penipuan dan rasuah. Kumpulan Islam menyertai pilihan raya atas nama Harakah Muqawamah Islamiyyah (Hamas) disokong oleh semua kumpulan Islam dan majoriti rakyat Palestin, tiba-tiba diiktiraf Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang ditubuhkan menjadi boneka setelah dikalahkan oleh Hamas yang mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

Malangnya, kemenangan itu tidak diiktiraf dan tidak diizinkan Hamas untuk menubuhkan kerajaannya, lalu bertahan dengan menubuhkan kerajaan di kubunya iaitu di wilayah Gaza. Kerajaan di wilayah yang kecil dan sempit itu dikepung laksana penjara, dan lebih kejam disekat segala kemudahan termasuk yang bersifat kemanusiaan seperti bekalan makanan dan perubatan supaya rakyatnya tertekan dan menyerah kalah, namun mereka sabar mempertahankan kemenangannya.

Pada masa yang sama, para pendatang Yahudi di Tebing Barat iaitu kawasan yang hendak dibahagikan kepada negara Palestin yang dicadangkan telah diceroboh lagi dengan ganas oleh pendatang Yahudi dari negara luar dengan mendapat perlindungan polis dan tentera Israel. Dalam pada itu, mereka juga menceroboh Masjid al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam dengan ganas, apabila melakukan upacara sembahyang agama Yahudi.

Para pemimpin agama dan politik membuat kenyataan yang menunjukkan mereka merancang untuk merobohkan masjid kemudian didirikan Haikal Sulaiman (kuil besar agama Yahudi). Perkara ini menyebabkan kebangkitan rakyat Palestin menentang dengan penuh gagah berani.

Berikutannya, Hamas dan semua kumpulan Palestin khususnya Tanzim Jihad iaitu kumpulan Islam yang bergabung dengan Hamas dengan sokongan semua kumpulan termasuk kalangan bukan Islam melancarkan satu operasi ketenteraan yang berjaya menembusi pertahanan Israel yang dikatakan mustahil dapat dikalahkan. Hal ini disebabkan negara itu dibanjiri oleh senjata yang dibekalkan oleh negara-negara bersekutu daripada blok Barat yang diketuai oleh kuasa besar Amerika Syarikat, disertai juga oleh kuasa besar Eropah yang terdiri daripada kalangan negara seperti Great Britain, Perancis, Jerman dan juga beberapa buah negara Eropah yang lain.

Kemenangan Operasi Taufan al-Aqsa yang mengalahkan Israel telah mengejutkan dunia, sehingga negara bersekutu membentuk tentera Ahzab baharu bagi menghadapi kebangkitan Islam dengan mengerahkan armada laut dan tentera udara ke Asia Barat. Bahkan, ada yang berperang membantu Israel dan ada juga yang menunggu.

Perkembangan yang berlaku menyatakan benarnya amaran Allah supaya tidak percaya kepada musuh Islam sehingga mengharapkan perlindungan mereka.

Tindakan melampau Zionis dan sekutunya terhadap Gaza, pada masa yang sama langkah jihad mengikut Islam yang berbeza dan tidak melampau dilakukan oleh pihak Gaza dan pihak yang membantunya daripada kalangan negara Republik Islam Iran dan kumpulan Islam Sunni serta Syiah iaitu Hizbullah dan Ansarullah yang berbeza mazhab. Kerjasama antara mazhab boleh menyatukan semula umat Islam, menunjukkan mereka mempunyai persamaan pada dasar dan konsep Islamnya.

Tindakan menyerang Qatar juga mencetuskan kemarahan antarabangsa yang meluas sehingga memberi kesan yang besar, apabila masyarakat dunia bersimpati ke atas Gaza, namun bersikap kontra terhadap Israel dan sekutunya.

Pengakuan masyarakat antarabangsa terhadap keganasan Israel dan sekutunya membawa kesan yang positif sekali gus menarik simpati seluruh dunia daripada kalangan bukan Islam, malah berlaku perkembangan Islam di negara-negara bukan Islam. Walaupun negara Barat dan sekutunya melalui PBB tidak pernah mengiktiraf kemenangan Islam secara demokrasi.

Lebih malang lagi, perpecahan dalam kalangan negara-negara Arab dan Islam berlaku, walaupun telah diberikan amaran oleh Allah SWT:

وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ٤٦

“Dan taatilah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu saling berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.” [Surah al-Anfal: 46]

Sidang kemuncak tergempar oleh OIC dan Liga Arab (Arab League) diadakan selepas serangan Israel ke atas Qatar, menghasilkan suatu resolusi yang sangat lemah dan tidak bermaya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 27 Rabi‘ al-Awwal 1446 / 20 September 2025

[Bil: 62 / 2025]