KUALA TERENGGANU — Ameerah Terengganu menyatakan sokongan penuh terhadap kesediaan PAS untuk memimpin Perikatan Nasional (PN), menegaskan parti Islam itu memiliki kelayakan, kematangan dan pengalaman yang mencukupi dalam landskap politik negara.
Pengarah Ameerah Terengganu, Ustazah Sumaiyah Zakaria berkata, PAS bukan parti baharu, sebaliknya sebuah gerakan politik yang telah lama berakar umbi dan terbukti berprestasi cemerlang serta berwibawa dari sudut kepimpinan.
Menurutnya, pertambahan keahlian PAS menjadi bukti penerimaan rakyat, selain kepelbagaian latar belakang dan kepakaran pemimpin yang mengukuhkan kedudukan parti itu dalam menghadapi cabaran politik semasa.
“Dengan prestasi cemerlang dan kredibiliti yang membanggakan, sama ada dari sudut parti mahupun kepimpinan, PAS terus menjadi pilihan rakyat Malaysia. Keahlian yang kian bertambah menjadi bukti PAS terus diterima.
“Kepelbagaian latar belakang serta kepakaran pemimpin yang ada menjadikan PAS bukan parti mudah dikalahkan lawan,” jelasnya dalam kenyataan media, hari ini.
Sumaiyah menegaskan, Ameerah Terengganu menyahut seruan penyatuan ummah seperti yang sering ditekankan oleh Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, dengan meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan tidak tunduk kepada kepentingan politik sempit.
“Pendekatan yang dibawa oleh PAS bersifat semasa, tegas berprinsip walau berdepan cabaran dan serangan. PAS sangat matang dan sejahtera dalam menterjemahkan solusi,” ujarnya.
Tambah beliau, tanpa ragu, PAS memainkan peranan yang cukup baik dengan mendekati anak muda di platform media sosial.
“Terus konsisten memperkenalkan parti, dan hala tuju perjuangan yang dibawa.
“Inilah antara prospek PAS, tegas berprinsip dengan Islam dan memenuhi aspirasi gaya hidup dan kepimpinan patuh syariah,” katanya.
Justeru itu, beliau yakin PAS bukan sahaja bersedia memimpin Perikatan Nasional, malah berkeupayaan memacu hala tuju negara ke arah Malaysia Sejahtera.





























