Amanat Jihad Itqanul Muluk

314

KUALA TERENGGANU – Seluruh rakyat negeri ini diseru agar meneruskan jihad, memperjuangkan bersingguh-sungguh amanat Itqanul Muluk dengan semampu kudrat masing-masing untuk membangunkan Darul Iman.

Timbalan Pesuruhjaya PAS I Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia bukan sekadar warisan ilmu tetapi asas pembinaan jati diri negeri ini sendiri.

“Fasal 51 dalam Itqanul Muluk Bi Ta’dilil Suluk ada disebut bahawa sesungguhnya telah disifatkan dan disebutkan.

“Serta ditetapkan selama-lamanya Kerajaan Terengganu ini ialah Kerajaan Islamiah, Melayuwiyyah yang dikatakan agama negeri dan kerajaan, “ujarnya dalam satu kenyataan melalui media sosialnya.

Justeru Menteri Besar Terengganu itu menegaskan, Itqanul Muluk Bi’tadil As-Suluk menjadi rujukan utama kerajaan hari ini bagi memastikan warisan perundangan dan falsafah tadbir urus.

Beliau berkata, ia merupakan undang-undang tubuh kerajaan Terengganu yang diisytiharkan pada tahun 1911, berpaksikan syariat Islam terus menjadi tunjang identiti negeri bagi mencapai reda ilahi

Katanya, ia perlu dihayati dengan penuh semangat oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini.

“Di sini, kita perlu menghayati bahawa kualiti pemerintahan diukur bukan berdasarkan kekayaan material bahkan diukur pada ketelitian dalam pengurusan dan ketegasan dalam memastikan keadilan dapat dilaksanakan kepada seluruh rakyat.

“Atas semangat ini saya menyeru semua pihak termasuk para pemimpin di peringkat negeri dan masyarakat, para penjawat awam serta semua rakyat untuk kita menjadikan Itqanul Muluk Bita’dil As-Suluk sebagai panduan dalam setiap tindakan.

“Semoga semangat ini akan terus menyala dalam setiap entiti dan kerajaan untuk membawa Terengganu ke arah maju, berkat, dan sejahtera,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Program Penghayatan Itqan Al-Muluk Bita’dil As-Suluk Peringkat Negeri Terengganu 2025, pada 27 November.