KUALA TERENGGANU — Keaktifan muslimat dalam gerak kerja Islam dan kemasyarakatan tidak seharusnya dilihat sebagai hambatan kepada pembentukan rumah tangga, sebaliknya perlu dianggap sebagai kekuatan dalam membina keluarga yang turut mempunyai kefahaman terhadap perjuangan Islam.
Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Ustaz Haji Nasrudin Hassan Tantawi berkata, ketidakseimbangan penyertaan dalam program Baitul Muslim perlu ditangani menerusi peningkatan kefahaman, khususnya dalam kalangan muslimin mengenai kepentingan memilih pasangan berdasarkan agama dan kefahaman Islam.
Menurutnya, terdapat ramai muslimat yang mendaftar atau mengisi borang Baitul Muslim, namun sebahagian daripada mereka tidak mendapat sambutan daripada pihak lelaki atas pelbagai alasan, termasuk kebimbangan terhadap tahap penglibatan wanita dalam aktiviti Islam.
“Sepatutnya kalau akhawat atau muslimat itu aktif dengan aktiviti amal Islami, dengan jemaah dan parti, sepatutnya itulah yang kita sambut dan alu-alukan.
“Keaktifan itu satu kekuatan sebenarnya kepada pembentukan keluarga haraki. Tinggal lagi perlu kita bina pengurusan yang baik,” jelasnya ketika menjawab soalan dalam program Liqa Fikri di KOMTAQ pada sabtu.
Beliau berkata, pemahaman mengenai konsep kufu dalam pemilihan pasangan juga perlu diperluaskan, bukan hanya dinilai berdasarkan aspek material, latar belakang keluarga dan kedudukan dalam masyarakat, tetapi turut mengambil kira fikrah serta kefahaman Islam.
Bagaimanapun, katanya, penglibatan aktif dalam gerak kerja Islam perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab terhadap keluarga selepas berumah tangga.
“Kalau aktif sampai tidak cakna kepada keluarga, itu bukan cara Islam. Keluarga perlu diberi keutamaan dan perhatian kepada anak-anak.
“Jadi ini soal pengurusan masa dan pengurusan rumah tangga yang perlu ditingkatkan,” ujarnya.
Antatawi turut menegaskan penglibatan muslimat amat diperlukan dalam gerak kerja kemasyarakatan termasuk ketika pilihan raya, khususnya dalam usaha mendekati masyarakat dan melaksanakan aktiviti ziarah.
Tambahnya, pasangan lelaki juga perlu memainkan peranan dengan memberi ruang dan sokongan kepada isteri untuk terlibat dalam aktiviti berkenaan, termasuk membantu dari segi pengangkutan dan keperluan lain.
Beliau berkata, pendekatan saling menyokong antara suami dan isteri mampu membentuk keluarga yang bukan sahaja kukuh dari sudut kekeluargaan, malah dapat menyumbang kepada kesinambungan gerak kerja Islam.
“Jangan jadikan keaktifan muslimat itu hambatan kepada pembinaan rumah tangga. Sepatutnya keaktifan itu menjadi satu kekuatan kepada pembentukan keluarga haraki,” tambah beliau.





























