Oleh : Fauzi Md Adam
MARANG – Seramai 80 anak muda daripada komuniti setempat menyertai Konvoi Bermotosikal Anak Muda Alur Limbat menuju ke Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariah Dan Jom Ke Masjid yang berlangsung di Masjid Pengadang Baru.
Ketua Konvoi Ahmad Sofi Naeem bin Che Mat Duzki berkata, konvoi mula bergerak dari Dataran Alur Limbat kira-kira jam 4.00 petang.
“Pergerakan telah dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, YB Dato’ Haji Ustaz Ariffin Deraman bersama Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Hadi Harun.” kata beliau yang juga Ketua Alternative Riding Club (ARC) Alur Limbat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Masjid Pengadang Baru, pada Jumaat 10 Oktober.
Menurutnya, para peserta menunggang jentera masing-masing berdisiplin bagi mempromosikan budaya berkonvoi patuh syariah dan berhemah di jalan raya.
Kata Ahmad Sofi, penganjuran program itu bukan sekadar aktiviti santai, tetapi membawa mesej mendidik anak muda agar dekat dengan masjid, cintai ilmu dan aktiviti kemasyarakatan.
“ARC bukan kelab mat motor biasa. Konvoi ini menjadi medan dakwah yang membawa imej anak muda berakhlak dan berdisiplin. Kita mahu membina budaya berhibur secara sihat sambil menghidupkan masjid sebagai pusat ummah,” tambah beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak masjid dan penganjur yang memberi ruang menyatukan generasi muda dalam program penuh manfaat ini.
Katanya, Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariah & Jom Ke Masjid diisi dengan pelbagai pengisian seperti forum perdana dan kuliah bersama asatizah.
“Ada sukan rakyat, pemeriksaan kesihatan, gerai ekonomi ummah dan aktiviti kekeluargaan, selain penekanan terhadap pembinaan jati diri Islam dan ukhwah masyarakat.” ujar beliau