70 Wanita Muda Diraikan Dalam Majlis Sambutan Hari Lahir

407

KEMAMAN – seramai 70 wanita muda diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Lahir Ameerah DUN Kijal bagi kelahiran bulan Januari hingga Mei 2025 yang berlangsung meriah dengan tema “Pastel Garden”.

Majlis yang penuh keceriaan ini bukan sahaja meraikan hari lahir para peserta, malah menjadi medan mempererat ukhuwah dalam kalangan anak muda, dengan peluang bertemu rakan-rakan lama dan baharu.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Pengarah PAS DUN Kijal, Haji Zakaria Che Soh; Timbalan Ketua Muslimat PAS DUN Kijal, Hajah Rohimah; serta Ketua Ameerah DUN Kijal, Ustazah Fatimah Salwani.

Dalam ucapannya, Ustazah Fatimah menzahirkan ucapan tahniah kepada semua yang diraikan serta mendoakan agar pertambahan usia menjadi ruang untuk menambah amal dan kekuatan di jalan dakwah.

Perasmi program, Haji Zakaria Che Soh, turut memuji usaha Ameerah DUN Kijal dalam menyantuni wanita muda melalui penganjuran program-program yang dekat dengan jiwa anak muda. Beliau berharap hubungan antara Ameerah dan wanita muda terus diperkukuhkan melalui inisiatif berterusan.

Penganjur mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan berharap lebih banyak memori indah akan terus tercipta dalam program-program Ameerah DUN Kijal akan datang.