64 serangan udara NATO, Gaddafi larikan diri

848

Pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, semalam berikrar akan berjuang berhabis-habisan selepas beliau terpaksa meninggalkan ibu negara Tripoli apabila ia ditawan oleh pemberontak.

Encik Gaddafi berkata, pengunduran dari kubu kuatnya di ibu pejabat pemerintahnya di Bab Al-Aziziya, merupakan satu tindakan taktikal selepas ia diserang oleh 64 serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

[Gambar – Rakyat Libya yang menyerbu masuk kawasan ibu pejabat Encik Gaddafi, Bab Al-Aziziya, di Tripoli, bersorak kegembiraan]

Ketika bercakap menerusi stesen radio tempatan Tripoli, yang dilaporkan oleh saluran televisyen, Al-Orouba, Encik Gaddafi bertekad mengisytiharkan kemenangan menentang Nato.

‘Kami menentang (musuh kami) dengan kekuatan kami… sama ada kami menang atau mati syahid. Insya-Allah,’ kata Encik Gaddafi.

Jurucakap pemerintah Libya, Encik Mussa Ibrahim, memberitahu Al-Orouba bahawa rejim pemimpin Libya itu boleh bertahan beberapa bulan lagi.

Menurut beliau, sekitar 6,500 sukarelawan telah memasuki kawasan Tripoli sepanjang ‘enam jam lalu’ dan diletakkan di seluruh ibu kota itu.

‘Kita akan mengubah Libya menjadi satu gunung berapi yang memuntahkan lahar dengan api di bawah kaki penceroboh dan ejen mereka yang khianat,’ kata Encik Ibrahim.

Dalam pada itu, kumpulan pemberontak berkata seramai 400 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 2,000 lagi cedera dalam pertempuran menguasai Tripoli, demikian menurut saluran televisyen, Al Arabiya.

Pemberontak menyerang bangunan Bab Al-Aziziya dalam sebahagian daripada usaha mereka menamatkan kepimpinan 42 tahun Encik Gaddafi, kelmarin.

Tripoli menjadi serangan pemberontak sejak Ahad lalu, sebahagian daripada kebangkitan rakyat negara itu yang bermula awal tahun ini.

Sementara itu, Nicaragua akan menawarkan suaka politik kepada Encik Gaddafi walaupun belum ada permintaan daripada pemimpin Libya itu setakat ini.

Media tempatan membuat spekulasi bahawa Encik Gaddadi mungkin hidup dalam buangan ke Nicaragua kerana Presiden Nicaragua, Encik Daniel Ortega, selama ini menjadi penyokong kuat pemimpin Libya itu.

Baru-baru ini, beliau menyifatkan Encik Gaddafi sebagai ‘abang’ dan ‘sahabat’.

Dalam pada itu, wartawan asing yang membuat liputan konflik Libya kini terperangkap dalam hotel penginapan mereka buat tiga hari berturut-turut semalam apabila kumpulan bersenjata yang setia dengan rejim itu terus menjadikan mereka tahanan.

Bekalan elektrik dan air juga dipotong dan tiada kakitangan hotel yang bertugas sehingga memaksa lebih 30 wartawan terpaksa berkumpul di tingkat pertama Hotel Rixos.

Disebabkan ada peluru yang tersasar ke hotel berkenaan, wartawan terpaksa menggantung kain rentang di luar hotel dengan tertera perkataan ‘Akhbar, televisyen, jangan tembak!’

Dari masa ke masa, mereka dibekalkan makanan dan diperiksa seolah-olah wartawan terbabit kini dijadikan tebusan. — AFP, AP, Reuters.