5,000 Ribu Kampit Beras Asnaf Untuk Empat DUN

1150

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 5000 kampit beras disalurkan kepada asnaf yang terjejas di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Besut.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor berkata, ia adalah bagi meringankan beban mereka yang menghadapi musibah berganda iaitu Covid-19 dan juga musim banjir.

“Kami akan mengagihkan di keempat-empat dun, Kuala Besut, Kota Putera, Jertih dan Hulu Besut, di seluruh 147 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk serahan beras Asnaf musim banjir.

“Untuk minggu ini kita laksanakan untuk siri satu, pada minggu depan siri dua dan insya Allah kita akan agihkan sempena dengan musim tengkujuh ini,” jelasnya.

Beliau yang juga Penyelaras Parlimen Besut berkata demikian ketika dihubungi media semalam.

Menurut Dr Riduan, rata-rata asnaf ini berpendapatan kurang daripada RM1000 hanya mereka bergantung harap kepada pertanian, getah dan juga hasil tangkapan ikan di laut.

“Jadi dengan sedikit sebanyak sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban mereka.

“Dan insya Allah bagi pihak Pejabat Penyelaras Parlimen Besut akan berusaha lagi untuk agihkan selain daripada beras pada minggu akan datang, insya Allah,” ujarnya.

Beliau menambah, beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) terlibat antaranya, Jabatan Amal Malaysia, daripada Muslim Care Malaysia, PAPISMA dan MediCOM, sama-sama berkolaborasi dalam membantu mangsa banjir.

“Setiap hari kita memantau paras air sungai dan memantau paras air empangan di dua buah empangan di daerah Besut iaitu Empangar Jajar dan Paya Peda,” tambah beliau.