40 Usahawan Mikro Wakaf Mempelam Terima Manfaat DUTE

74

KUALA TERENGGANU – Seramai 40 usahawan mikro dan kecil di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam menerima manfaat di bawah Skim anjuran Kerajaan PAS Terengganu, Dana Usahawan Terengganu (DUTE) 2025.

Penyerahan bantuan ini merupakan langkah proaktif Kerajaan Negeri Terengganu dalam memperkasakan ekonomi rakyat setempat serta menggalakkan penglibatan golongan belia dalam sektor perniagaan.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, inisiatif yang digerakkan menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) ini bertujuan membantu usahawan baharu dan sedia ada untuk mengembangkan operasi mereka melalui penyediaan peralatan serta keperluan perniagaan.

“Rezeki yang paling bermanfaat dan berkat ialah rezeki yang lahir daripada usaha, keringat dan kerja keras kita sendiri. Justeru, kerajaan negeri memperuntukkan dana ini bagi membantu usahawan keluar daripada takuk ekonomi sedia ada kepada kehidupan yang lebih baik.

“Kita melihat majoriti penerima kali ini terdiri daripada golongan muda. Ini satu perkembangan positif di mana rakyat, khususnya di DUN Wakaf Mempelam, memanfaatkan kesihatan dan tenaga untuk berdikari dalam mencari rezeki,” katanya

Beliau Yang juga ADUN Wakaf Mempelam berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan tersebut di Dewan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Terengganu telah memperuntukkan sejumlah RM1.6 juta bagi pelaksanaan program DUTE di seluruh negeri, dengan setiap DUN menerima agihan kuota sebanyak RM50,000.

Bantuan ini disalurkan bukan sahaja dalam bentuk kewangan, tetapi juga aset kelengkapan bagi meningkatkan produktiviti jangka masa panjang.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi turut menyeru para usahawan agar mengadaptasi teknologi digital dan media sosial sebagai medium pemasaran utama.

Jelasnya, penggunaan platform dalam talian mampu mengurangkan kos operasi fizikal sambil meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan.