374 Terima Borang 5A, Impian Miliki Tanah Akan Jadi Kenyataan

319

DUNGUN – Seramai 374 orang lagi rakyat di Dungun menerima Borang 5A yang bermakna impian mereka untuk memiliki tanah sendiri akan menjadi kenyataan

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata jadi cuma perlu bayar premium tanah, selepas itu mereka akan mendapat geran yang menandakan tanah itu menjadi hak milik mereka.

“Alhamdulillah kerajaan Terengganu terus melaksanakan janji -janji manifesto untuk memberi tanah kepada rakyatnya yang layak,” katanya.

Alias berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Borang 5A RTB Bypass Batu Tiong di Dewan Majlis Perbandaran Dungun.

Turut hadir di majlis tersebut Pegawai Penyelidik Pejabat Menteri Besar Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani.


Seorang ibu tunggal, Zawiyah Abdullah (Gambar atas), 54 yang tinggal menumpang di atas tanah pusaka ibunya di Kampung Baru Kuala Abang menyifatkan sebagai rezeki tidak pernah salah alamat.

“Memandangkan saya pun tidak mempunyai tanah, rumah sayapun menumpang atas tanah pusaka yang menjadi milik ramai adik beradik, jadi bila dapat ni, nanti saya akan bayar premium dan dapatlah memiliki tanah sendiri,”
katanya.


Bagi Nor Halida Ibrahim (Gambar atas), 40 melahirkan kesyukurannya kerana akhirnya dia berpeluang memiliki tanah dan cuba untuk membina rumah sendiri.

“Perit sangat rasa 18 tahun duduk menyewa, daripada umur anak sulung saya, dari sewa seratus lebih, naik, naik, sampai sekarang dua ratus lebih,” katanya yang membantu suaminya seorang jaga, dengan menjahit langsir.