200 Peserta Tawan Bukit Apu, Semarak Kemerdekaan ke-68

367

KUALA TERENGGANU – Lebih 200 peserta menyertai Program Mendaki Bukit Apu sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, menjadikannya platform memperkukuh semangat patriotisme, gaya hidup sihat dan perpaduan masyarakat.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Langkap, YB Azmi Maarof berkata, tujuan utama penganjuran adalah untuk menyemai nilai positif dalam kalangan masyarakat dan mengangkat Bukit Apu, Kampung Rahmat sebagai destinasi riadah komuniti.

“Program ini bukan sekadar aktiviti mendaki, tetapi membawa mesej bahawa kejayaan memerlukan usaha, disiplin dan kerjasama, sama seperti mendaki bukit yang penuh cabaran.

“Nilai ini selari dengan perjuangan kemerdekaan yang perlu difahami generasi muda,” jelasnya yang juga ADUN Langkap, ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, aktiviti mendaki turut diserikan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Tanggal 31 di puncak bukit sebagai simbol kecintaan terhadap negara.

Tambah Azmi, kehadiran peserta yang melebihi jangkaan awal jelas menunjukkan minat tinggi masyarakat terhadap aktiviti sihat berbentuk komuniti.

Pada masa sama, ia membuka potensi besar Bukit Apu sebagai lokasi pelancongan komuniti dan program kemasyarakatan yang boleh menarik pengunjung dari luar.

“Melihat sambutan yang menggalakkan, kita melihat potensi untuk menjadikan program mendaki Bukit Apu ini sebagai acara tahunan.

“Ia mampu mengeratkan hubungan masyarakat, memupuk gaya hidup sihat serta mengukuhkan perpaduan dalam suasana harmoni,” tambahnya.