KUALA TERENGGANU — Seramai 200 orang pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan barangan sekolah menerusi Program Back to School DUN Ajil, sebagai persediaan menyambut pembukaan sesi persekolahan baharu.
Yang Dipertua PAS kawasan Hulu Terengganu, Maliaman Kassim berkata, penganjuran program itu mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan pendidikan anak-anak, khususnya dalam memastikan mereka mendapat sokongan sewajarnya untuk terus mengikuti arus pembelajaran.
“Alhamdulillah, sumbangan ini diharap dapat meringankan beban keluarga yang memerlukan dan menjadi dorongan awal kepada anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan dengan hati yang gembira dan penuh keyakinan,” jelasnya.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional, berkata demikian ketika dihubungi, semalam.
Menurut beliau, pendidikan merupakan asas pembinaan insan dan tunjang kekuatan masa depan masyarakat.
Justeru itu, katanya, sokongan moral dan material perlu digerakkan seiring bagi membentuk generasi yang seimbang dari segi ilmu, akhlak dan jati diri.


“Anak-anak ini adalah amanah Allah dan aset ummah. Setiap langkah kecil membantu mereka hari ini adalah benih kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa budaya saling membantu dan prihatin terhadap kebajikan sesama masyarakat perlu terus disuburkan, selaras dengan tuntutan Islam yang menekankan nilai kasih sayang, keadilan dan tanggungjawab sosial.
“Semoga usaha kecil ini menjadi asbab lahirnya generasi berilmu, beradab dan berbakti, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan agama, bangsa dan negara,” katanya































