150 Pelajar Sertai Kem Isi Masa Cuti

141

Oleh: Jusmawari Jusoh

BESUT – Seramai 150 pelajar menyertai kem Tamrin Anak-Anak Ahli PAS (TAMPAS) 2021 bagi mengisi waktu cuti hujung tahun dengan perkara yang lebih bermanfaat.

Ahli Jawatankuasa kerja (AJK) PAS Pusat, Ustaz Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, program ini adalah anjuran Lujnah Dakwah PAS dengan kerjasama Urusan Ulama PAS Kawasan Besut.

Katanya, aktiviti ini berlangsung selama lima hari bermula 9 hingga 14 Januari bertempat di Kompleks Tahfiz Annur Besut,Kampung Alor Belanga Jerteh.

“Kita berharap dengan adanya program sebegini dapat mengeratkan ukhuwah sesama anak ahli PAS dan adanya generasi pelapis kepimpinan PAS serta perjuangan Islam,” ujarnya.

Beliau yang juga Pegawai Penyelaras Parlimen kawasan Besut berkata demikian ketika di temui dalam program, di sini, pada semalam.

Menurutnya, generasi pada hari ini yang dikenali “generasi android” sangat terdedah dengan kebejatan akhlak kerana terlalu mudah akses kepada media sosial.

“Justeru itu atas dasar tanggungjawab sebagai pemegang amanah saya akan menyebarkan kebaikan kepada seluruh masyarakat, maka program ini diinspirasikan,” tambahnya lagi.