Dianggarkan seramai 12.2 juta orang Syria memerlukan bantuan kerana peningkatan kekerasan dan keadaan yang semakin buruk di negara itu, meningkat daripada 10.8 juta pada bulan Julai.
Ketua Kemanusiaan PBB Valerie Amos berkata penghantaran bantuan dari Turki dan Jordan ke kawasan pejuang, walaupun tanpa kebenaran kerajaan telah membawa sedikit perubahan kepada rakyat Syria.
Beliau pada Selasa 25 November, menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk melanjutkan kebenaran bagi penghantaran bantuan merentas sempadan, yang akan tamat pada 9 Januari.
Amos meggambarkan keadaan suram semakin buruk di Syria dengan penguncupan 40 peratus ekonominya sejak 2011.
“Tiga perempat daripada penduduk hidup dalam kemiskinan, penurunan 50 peratus dalam kehadiran sekolah, dan 7.6 juta hidup sebagai orang pelarian di dalam negara dan 3.2 juta yang telah melarikan diri ke negara-negara lain,”ujarnya.
Sementara itu, nasib pelarian Palestin dari Syria di Timur Tengah menjadi semakin serius disebabkan oleh penutupan sempadan dan kepulangan pelarian yang dipaksa dari negara-negara jiran.
Jurucakap Agensi Bantuan dan Kerja (UNRWA) PBB Chris Gunness berkata, ia memaksa penduduk Palestin yang sudah terdedah dengan bahaya mengambil risiko yang mengancam nyawa.
Katanya, Percubaan melarikan diri dengan bot di laut Mediterranean, sering meninggalkan kesan-kesan tragis.
Lubnan telah menyediakan perlindungan untuk 44,000 orang pelarian Palestin dari Syria sejak konflik bermula.
Walau bagaimanapun, pada 4 Mei, pihak berkuasa Lubnan mengarahkan 41 pelarian Palestin dari Syria kembali ke negara bergolak itu setelah mereka ditahan di lapangan terbang kerana perjalanan yang dilakukakndengan visa palsu, ke negara-negara ketiga.
Pada masa ini terdapat hampir 15,000 pelarian Palestin dari Syria yang berdaftar dengan UNRWA di Jordan. Tetapi tidak lama selepas pelarian Palestin pertama telah diterima, Kerajaan Jordan menghalang pelarian Palestin masuk ke negara itu dari Syria.
Dengan penutupan sempadan, ramai pelarian Palestin di Syria telah dihalang daripada melarikan diri dari negara itu ke Jordan menyebabkan mereka terdedah kepada risiko “pulang secara terpaksa”.










