103 Anak Yatim DUN Langkap Terima Sumbangan

185

KUALA TERENGGANU – Seramai 103 anak yatim disantuni dalam Majlis Sumbangan dan Iftar Bersama Anak-Anak Yatim Peringkat DUN Langkap yang berlangsung di Dewan Komuniti Sejahtera Sri Langkap, Sungai Tong.

Pengarah MTD DUN Langkap, YB Azmi Maarof berkata, majlis berkenaan menjadi medan memperkukuh semangat kebersamaan dan menyemai nilai kasih sayang dalam kalangan masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat bersama-sama menjayakan program yang penuh makna ini.

“Terima kasih kepada pihak JPKK serta semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan kelancaran majlis,” jelasnya dalam laman sosialnya semalam.

Justeru itu, beliau berharap usaha kecil ini diterima sebagai amal kebajikan dan terus menyemai rasa kasih sayang dan kebersamaan dalam masyarakat.

Beliau menambah program tersebut dilihat bukan sahaja membantu dari sudut kebajikan, malah mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, selaras dengan aspirasi membina komuniti yang prihatin dan sejahtera.