Oleh : Hafiz Sahidi
MARANG – Hampir 100 petugas daripada pelbagai agensi kebajikan dan NGO seluruh Terengganu digerakkan hari ini bagi melaksanakan operasi pasca banjir di beberapa kawasan terjejas di DUN Bukit Payong.
Misi bantuan yang diketuai Khidmat Malaysia Marang, dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Jabatan Amal Marang serta beberapa NGO lain itu bermula seawal jam 8.00 pagi dengan pusat pengumpulan ditetapkan di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Bukit Payong.
Ketua Khidmat Malaysia Marang, Ustaz Irsyad Syafiq, berkata antara lokasi yang mengalami impak banjir paling serius ialah Taman Desa Setia, Taman Al-Amin serta kawasan PAKR Giat Marang.
“Beberapa kawasan ini mengalami kesan lumpur dan kerosakan harta benda yang agak teruk. Kami menggerakkan seramai mungkin sukarelawan bagi membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir,” katanya ketika dihubungi


Menurut beliau, penyertaan pelbagai pasukan bantuan dan sumbangan masyarakat setempat diharap dapat meringankan beban keluarga yang terjejas.
“Mudah-mudahan dengan bantuan tenaga, masa dan sumbangan kewangan ini, kita dapat mengurangkan tekanan serta beban mangsa banjir. Terima kasih kepada semua petugas dan penyumbang yang hadir,” ujarnya.
Selepas selesai operasi pembersihan, para petugas turut disediakan jamuan gulai kawah sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka.
Inisiatif pasca banjir ini merupakan usaha berterusan pihak Khidmat Malaysia dan badan-badan sukarelawan bagi memastikan penduduk terjejas dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.































