Perlaksanaan Dasar Wanita Terengganu Perlu ‘Political Will’ dan Inklusif

511

KUALA TERENGGANU – Kejayaan Dasar Wanita Negeri Terengganu adalah bergantung kepada kesungguhan politik pemimpin kerajaan dan pelaksanaan yang menyeluruh serta inklusif.

Ketua Penerangan DHPP Pusat Dr. Balachandran Gopal Krisnan berkata, walaupun dasar berkenaan sudah dirangka secara komprehensif, masih wujud tanggapan bahawa ia tidak memberi nilai politik kepada sesetengah pihak.

Beliau berkata, walaupun dasar berkenaan sudah dirangka secara komprehensif, masih wujud tanggapan bahawa ia tidak memberi nilai politik kepada sesetengah pihak.

“Inisiatif ini baik, tetapi ahli politik nampak kurang minat kerana mungkin tiada mileage dalam konteks Terengganu.

“Bagi mereka, asalkan ada dasar, itu sudah memadai,” jelasnya yang juga Pegawai Hal Ehwal Bukan Islam kepada Menteri Besar Terengganu.

Menurutnya, pelaksanaan dasar tersebut tidak boleh berhenti pada dokumen semata-mata.

Sebaliknya, katanya, perlu diterjemahkan dalam bentuk program, kemudahan dan sokongan nyata yang dapat dirasai oleh wanita di seluruh negeri.

“Perlaksanaan mesti komprehensif dengan pemantauan rapi. Road show di setiap daerah juga perlu supaya dasar ini benar-benar menyentuh wanita di akar umbi,” ujarnya.

Dr. Balachandran turut berkongsi pandangan hasil sesi pembentangan panel yang disertainya, bahawa peranan wanita bukan sekadar soal kesaksamaan, sebaliknya sebagai rakan strategik dalam membentuk keluarga sejahtera, komuniti progresif dan negeri yang makmur.

Beliau menekankan bahawa suara wanita di peringkat akar umbi termasuk wanita muda, wanita desa dan ibu tunggal masih perlu diperkasakan.

“Dasar hanya akan inklusif apabila setiap lapisan wanita merasa mereka diwakili,” katanya.

Mengulas harapannya terhadap Dasar Wanita Terengganu 2025, beliau menegaskan dasar itu seharusnya menjadi model kepada negara, dengan fokus kepada pendidikan berterusan, sokongan ekonomi mikro, pusat komuniti wanita dan pengarusperdanaan suara wanita dalam proses perancangan dasar negeri serta daerah.

Justeru itu, beliau berharap agar dasar ini tidak berhenti sekadar dokumen rasmi, tetapi benar-benar menjadikan wanita lebih yakin, dihargai dan bersedia untuk menjadi peneraju bersama pembangunan negeri.