KUALA TERENGGANU – Ameerah, sayap wanita muda PAS, terus memainkan peranan penting memperkasakan generasi muda berlandaskan prinsip Islam melalui pendidikan politik, tarbiyah dan dakwah yang menyeluruh.
Ketua Ameerah Negeri Terengganu, Ustazah Sumaiyah Zakaria berkata, ia sekaligus melahirkan golongan wanita berilmu, proaktif dan berjiwa perjuangan.
“PAS kekal konsisten dengan dasar Islam walaupun berdepan pelbagai cabaran dan pertukaran kepimpinan.
“Pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera menjadi antara keistimewaan parti ini, yang diterima baik oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa atau agama,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Sumaiyah menjelaskan bahawa gerak kerja parti tidak bermusim dan tidak tertumpu hanya ketika pilihan raya atau semasa berkerajaan.
“Kami tidak memaksa atau memberi imbuhan kepada ahli untuk hadir ke program.
“Kehadiran adalah lahir daripada kefahaman dan keikhlasan dalam perjuangan,” katanya.
Justeru itu, beliau turut menyeru wanita muda agar tidak takut untuk menceburi bidang politik dan mengambil bahagian secara aktif dalam pembangunan negara, sama ada melalui kepimpinan mahupun partisipasi dalam masyarakat.
Sementara itu, Sumaiyah turut mengulas Diskusi ilmiah yang menghimpunkan empat panel suara wanita muda berbeza ideologi dilihat sebagai usaha membina jambatan pemikiran dan memperkasa hala tuju politik negara.
“Ameerah menyokong inisiatif mana-mana pihak yang dapat melahirkan wanita muda berinformasi, berdaya saing dan berpandangan jauh demi masa depan negara,” tambah beliau lagi.