Oleh : RR
KUALA TERENGGANU – Lajnah Penerangan PAS Kawasan Kemaman memperkukuh gerak kerja penerangan dan dakwah sebagai nadi utama menyampaikan mesej perjuangan Islam dan dasar parti kepada rakyat secara menyeluruh dan berkesan.
Ketuanya, Syed Shahrunuddin Syed Mohd Sah berkata, usaha ini penting bagi memastikan maklumat tepat dan responsif terhadap isu semasa dapat sampai kepada semua lapisan masyarakat, khususnya di Kemaman.
“Beberapa perancangan dan inisiatif strategik sedang dan akan terus digerakkan bagi memperkukuh gerak kerja penerangan dan dakwah,
“antaranya adalah pemantapan platform komunikasi digital rasmi, penganjuran program dakwah lapangan, pembentukan pasukan penceramah berkemahiran dan penerbitan risalah isu semasa.
“Selain itu, jalinan kerjasama bersama media dan NGO tempatan serta latihan dalaman ahli untuk penguasaan media baharu,” jelasnya ketika dihubungi pada hari ini.
Menurutnya, penerangan adalah tulang belakang gerakan dakwah dan siasah Islam.
“Melalui gerak kerja yang tersusun dan profesional, kita mampu mendekatkan rakyat dengan perjuangan PAS serta memberi kefahaman jelas berhubung isu semasa,” ujarnya.




























