Ulama dan Profesional, Dakwah Gen Z, Fokus Perbincangan Ameerah di Ijtimak Kepimpinan

424
Hidayah Azlin

KUALA TERENGGANU – Persefahaman antara golongan ulama dan profesional dalam dakwah di kalangan anak muda menjadi fokus utama Ameerah pada Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Justeru, Ameerah setiap Kawasan membuat persediaan untuk hadir ke Ijtimak tersebut dan mengikuti secara langsung setiap perbahasan yang akan dipersembahkan oleh para pemidato.

Ketua Ameerah Setiu, Hidayah Azlin, berkata setakat ini seramai 33 orang telah mendaftar bagi mengikuti perbincangan tersebut dan jumlah itu dijangka terus bertambah menjelang program berkenaan.

“Kami berharap dapat mencapai satu resolusi terbaik, terutama berkaitan perkaderan kepimpinan pelapis yang mampu memimpin parti di masa hadapan.

“Usaha penyatuan antara ulama dan profesional dalam kalangan anak muda sangat penting agar mereka dapat bersama-sama berada di bawah sayap parti,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menyeru semua ahli dan pemimpin di setiap peringkat agar hadir dan berpartisipasi secara aktif bagi memastikan matlamat penyatuan serta pengukuhan gerak kerja parti dapat direalisasikan sepenuhnya.

Siti Norul Aini Hasmidar Md Razali

Sementara itu, Ketua Ameerah Kuala Terengganu, Siti Norul Aini Hasmidar Md Razali, berkata Muslimat Muda PAS menzahirkan komitmen penuh terhadap penganjuran Ijtimak Kepimpinan kali ini dengan tekad memperkukuh jati diri, kepimpinan dan gerak kerja wanita muda parti.

“Saya menjangkakan menghantar lebih 50 orang wakil bagi menyertai program yang dianggap medan penting penyatuan generasi dan pemerkasaan Muslimat muda.

“Ijtimak ini diharap menjadi ruang memantapkan kefahaman perjuangan, membina jaringan strategik bersama pimpinan negeri dan mencetuskan gelombang kebangkitan anak muda Muslimat menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

“Kami ingin pulang bukan sekadar dengan catatan, tetapi dengan tekad dan langkah tersusun untuk menggerakkan jentera di semua peringkat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Ameerah Hulu Terengganu, Widad Ismail, berkata penglibatan mereka dalam ijtimak kali ini diharap menjadi pemangkin kepada lahirnya kader-kader baharu yang mampu memperkukuh perjuangan parti pada masa depan.

“Kerahan kehadiran telah dibuat di setiap peringkat Ameerah kawasan dan setakat ini seramai 16 wakil dijangka hadir, dengan jumlah tersebut dijangka meningkat menjelang hari program.

“Ijtimak ini medan penting untuk Ameerah mengambil semangat daripada barisan kepimpinan dan ahli PAS berpengalaman, sekali gus mendalami kefahaman perjuangan parti,” katanya.

Beliau turut menyeru semua ahli agar menjadikan program ini sebagai platform kebangkitan dan langkah ke hadapan dalam memperkukuh jemaah.

“Harapan kami, melalui penglibatan ini, Ameerah di setiap peringkat mampu bangkit dengan lebih bersemangat dan berdaya saing demi memastikan kesinambungan perjuangan Islam dapat diteruskan,” tambahnya.