Pesan LAMEGA; Belajar Dari Kesilapan, Amalkan Perkongsian Ilmu

446

Oleh : Amir

DUNGUN – Para Bakal mahasiswa diingatkan agar mengamalkan tujuh perkara penting, menelusuri kehidupan melangkah ke Menara Gading, supaya mereka memperoleh kejayaan dunia dan akhirat.

Pengerusi Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Besi, YB Haji Ghazali Sulaiman berkata, pendedahan awal serta motivasi kepada pelajar adalah mustahak untuk bekal kehidupan di kampus.

Menurutnya, para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu membina jati diri, sahsiah dan nilai keilmuan dalam menempuh alam pengajian yang lebih mencabar.

“Ketika berada dalam suasana baharu, adik-adik akan berkenalan dengan ramai rakan daripada pelbagai latar belakang. Maka penting untuk memilih rakan yang menjaga solat, berakhlak baik, rajin membantu dan benar-benar ingin berjaya dalam pelajaran serta kehidupan,” jelasnya.

ADUN Bukit Besi itu berkata demikian Ketika merasmikan program Lambaian Menara Gading (LAMEGA) di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN tersebut, semalam.

Seramai 30 orang, termasuk ibu bapa hadir pada program tersebut yang diisi dengan sesi ceramah motivasi, perkongsian pengalaman bersama alumni IPT serta aktiviti bimbingan untuk membentuk hala tuju pengajian yang lebih jelas.

Oleh itu, Haji Ghazali berpesan agarm, setiap pelajar sentiasa merujuk kepada tenaga pengajar dalam membetulkan kesilapan dan mencari penyelesaian terbaik bagi setiap cabaran yang timbul.

“Belajarlah daripada kesilapan, dan jangan malu untuk bertanya atau berkongsi ilmu dengan rakan-rakan. Sikap terbuka dan suka membantu akan menjadikan suasana pembelajaran lebih harmoni dan memberangsangkan,” tambah beliau.