Oleh ; RR
SETIU – Rakyat pada hari ini lebih cenderung menilai hasil dan tindakan, bukannya retorik atau janji semata-mata.
Menurut Ahli Parlimen Setiu, YB Ustaz Shahrizukarnain Abdul Kadir, landskap politik semasa menunjukkan perubahan ketara dalam pemikiran rakyat yang kini lebih menilai keberkesanan sesebuah kerajaan berdasarkan pencapaian dan hasil kerja.
“Hari ini orang tak mahu dengar kita cakap banyak, mereka nak lihat apa yang dibuat.
“Kita mesti buktikan kemampuan kita sebagai kerajaan yang mampu mentadbir dengan baik dan berintegriti.
“Kita bukan hanya pemimpin untuk ahli PAS, tapi untuk seluruh rakyat negeri ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian selaku Yang Dipertua PAS Setiu ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung PAS Tahunan Kawasan Setiu kali ke 47 di Dewan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, di sini, hari ini.
Ustaz Shahrizukarnain menambah, kemenangan kali keempat PAS dalam menerajui pentadbiran Negeri Terengganu pada pilihan raya lalu bukan bermakna perjuangan sudah selesai.
Sebalik katanya, ia menandakan permulaan kepada gerak kerja yang lebih besar dan tersusun.
“Kita bukan sekadar bersyukur atas kemenangan ini, tetapi kita perlu bekerja lebih kuat lagi.
Ini bukan masa untuk berehat. Masing-masing telah diberikan posisi, ada yang menjadi wakil rakyat, ada yang memegang jawatan dalam agensi kerajaan, dan ada juga yang berperanan di peringkat akar umbi seperti JPKK dan AJK masjid,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan kepada semua jentera perlu bersedia menghadapi pilihan raya akan datang memandangkan tempohnya semakin hampir.
“Kita sedang berada dalam fasa persiapan. Sekiranya Parlimen dibubar hujung tahun ini, kita perlu sudah bersedia dari sekarang.
“Ini bukan masa untuk leka, kerana pilihan raya boleh berlaku bila-bila masa selepas empat tahun lebih,” katanya lagi.
YB Shahrizukarnain juga menekankan bahawa perjuangan PAS tidak terhenti di peringkat negeri semata-mata, tetapi perlu disusun ke arah matlamat lebih besar untuk mentadbir negara dengan acuan Islam.
“Matlamat kita bukan sekadar kekal memerintah negeri. Kita impikan untuk mentadbir negara suatu hari nanti, dengan dasar-dasar Islam sebagai tunjangnya,” tambah beliau lagi.




























