Perikatan Nasional memandang serius kenaikan tarif pelabuhan di Pelabuhan Klang yang telah digazetkan kenaikannya mencecah sehingga 30% secara berperingkat, peningkatan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta penyusunan semula tarif elektrik yang dijangka menekan lagi kos operasi pengilang, pengusaha logistik dan akhirnya pengguna.
Kenaikan yang diumumkan ini berlaku dalam keadaan ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya pasca pandemik, ditambah pula ketidaktentuan geopolitik dan aliran perdagangan global. Tindakan kerajaan mengenakan beban kos berlapis terhadap sektor industri dan pengangkutan adalah tidak bertanggungjawab, tidak berperikemanusiaan, dan tidak selari dengan semangat pemulihan ekonomi.
Menurut kajian Federation of Malaysian Manufacturer (FMM), kos pengendalian kontena 20 kaki dijangka meningkat daripada RM300 kepada RM390, manakala caj penyimpanan kontena melonjak hampir 200-243%. Ini bukan sahaja menjejaskan daya saing Malaysia di peringkat serantau, malah boleh menyebabkan penghijrahan pelabur ke pelabuhan-pelabuhan jiran seperti di Vietnam, Indonesia dan Thailand yang menawarkan yuran pengendalian yang lebih murah.
Kerajaan perlu sedar bahawa Malaysia berada di tangga ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia (IMD) dan lonjakan kos pelabuhan dan logistik akan memberi kesan rantaian terhadap harga barang, kadar inflasi, dan kesejahteraan pengguna.
Sehubungan itu, Perikatan Nasional menggesa:
1. Kerajaan membekukan serta-merta semua bentuk kenaikan tarif pelabuhan, cukai SST tambahan dan tarif elektrik.
2. Kementerian Pengangkutan dan MITI segera mengadakan dialog terbuka bersama pihak berkepentingan (Stakeholders) dengan mengadakan dialog bersama industri: Adakan perbincangan dengan syarikat perkapalan, pengusaha logistik, dan pengguna pelabuhan. Dengarkan maklum balas: Kenal pasti kesan kenaikan tarif terhadap kos perniagaan, harga barang, dan daya saing eksport/import.
3. Kesan kenaikan ini dibentangkan dahulu di dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia bagi menyemak semula justifikasi kenaikan dan impaknya kepada ekonomi negara.
4. Meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan melalui pendigitalan dan automasi: Guna sistem moden untuk mengurangkan masa dan kos operasi. Kurangkan masa pemprosesan (dwelling time) dengan meningkatkan kecekapan supaya pengguna mendapat nilai tambah walaupun tarif kekal.
Perikatan Nasional akan terus mendesak agar kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif, progresif dan berempati. Ekonomi negara tidak boleh dipulihkan dengan membebankan rakyat dan industri, sebaliknya ia memerlukan kecekapan pengurusan, dasar berpandangan jauh dan keutamaan kepada rakyat.
YB Ir Ts Haji Khairil Nizam bin Khirudin
Ketua Portfolio Pengangkutan
Perikatan Nasional


























