Perlantikan Muhyiddin PM-8: Sebahagian Mesej Perjuangan Islam Tercapai

2112

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan menandakan sekurang-kurang sebahagian mesej perjuangan telah tercapai, meskipun belum kemenangan mutlak kepada perjuangan Islam.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu, Ustaz Jamaluddin Jusoh Al Hafiz mengajak semua para pejuang Islam agar mentadabburkan ayat Allah dari Surah Al Asr.

“Alhamdulillah wajib kita semua mengunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT di atas maklumat terkini Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri Kelapan 10.30 pagi esok di Istana Negara,” ujarnya.

Ustaz Jamaluddin menyebut demikian di dalam satu kenyataannya pada petang ini.

Menurutnya, Allah mengingatkan adab ketika menyambut kemenangan dengan tasbih dan beristighfar sebanyak mungkin,menyucikan Allah kerana Allahlah yang Maha Berkuasa dalam menentukan apa sahaja.

“Beristighfar kerana mungkin tingkah laku, tutur bicara bahkan kiriman ‘whatsapp’ atau ‘facebook’ kita mungkin banyak keterlanjurannya.

” Kita menyambut kemenangan dengan cara Islam ajar dan jangan terikut para juhala'(orang yang jahil) yang seperti monyet baru dapat bunga..sindiran sinis bahkan gurauan yang dituju kepada lawan politik kita bukan adab sebagai pejuang Islam sebenar…jangan lupa mereka masih saudara seagama kita, ” tambah beliau.