Kebangkitan rakyat Yaman; Pemimpin Arab keempat hilang kuasa

1003

SANAA: Pemimpin autokratik Yaman, Presiden Ali Abdullah Saleh, bersetuju meletak jawatan selepas berlakunya demonstrasi sejak beberapa bulan lalu terhadap pemerintahannya selama 33 tahun di negara itu.

Langkah beliau itu melegakan hati para pemimpin Amerika Syarikat dan negara sekutunya di kawasan Teluk, yang bimbang keruntuhan kawalan keselamatan di Yaman membolehkan kumpulan cabang Al-Qaeda meningkatkan operasinya di negara tersebut.

Encik Saleh, lewat kelmarin, menjadi pemimpin Arab keempat yang kehilangan kuasanya berikutan gelombang gerakan pembebasan ‘Arab Spring’ tahun ini, yang senasib dengan para pemimpin diktator lain di Tunisia, Mesir dan Libya.

Namun, perjanjian peralihan kuasa yang ditandatangani Ali Abdullah Saleh di Riyadh, Arab Saudi, itu juga memberikan beliau kekebalan (imuniti)daripada didakwa dan tidak secara jelas melarang beliau daripada sekitaran politik negara itu – menimbulkan keraguan sama ada ia mampu menangani banyak masalah yang dihadapi Yaman.

Perjanjian itu juga dilihat membuka jalan kepada apa yang disifatkan sebagai satu perebutan kuasa yang bercelaru.

Antara mereka yang mungkin beraspirasi untuk mengambil alih kuasa termasuk anak lelaki Encik Saleh dan anak saudara lelakinya, yang memimpin unit tentera Yaman; para pemimpin puak yang berkuasa; dan komander sebuah batalion tentera Yaman yang sudah berpaling tadah.

Encik Saleh berdegil mahu terus berkuasa walaupun menghadapi demonstrasi jalanan hampir 10 bulan lamanya, apabila ratusan orang dibunuh oleh pasukan tentera beliau.

Pada satu ketika, istana bekas Presiden yaman itu dibom dan beliau, yang cedera akibat serangan itu, terpaksa dirawat di Arab Saudi.

Apabila beliau akhirnya menandatangani perjanjian berundur daripada tampuk kekuasaannya, beliau melakukannya di Riyadh, selepas kebanyakan sekutunya meninggalkan beliau dan menyertai pihak pembangkang.

Segak berpakaian sut niaga serba gelap dan duduk di sebelah Raja Abdullah, Ali Abdullah Saleh tersenyum apabila beliau menandatangani perjanjian yang dilakar dan diusahakan oleh negara jiran Teluk Arab, yang disokong Amerika, untuk mengalihkan kuasanya dalam masa 30 hari kepada naib presidennya, Encik Abed Rabbo Mansour Hadi.

Beliau kemudian bertepuk tangan beberapa kali.

‘Yang penting bukan tandatangan ini,’ katanya selepas menandatangani perjanjian tersebut.

‘Apa yang penting ialah hasrat yang baik dan dedikasi terhadap usaha serius, taat ke arah penyertaan dalam membina semula apa yang dimusnahkan oleh krisis ini sejak 10 bulan lalu,’ jelasnya.

Beliau pernah bersetuju menandatangani perjanjian itu tiga kali sebelum ini, tetapi setiap kali mengundur diri pada detik-detik terakhir apabila tiba masanya untuk berbuat demikian.

Peralihan kuasa itu akan diikuti oleh satu pilihan raya presiden dalam masa 90 hari. Sebuah pemerintah penyatuan kebangsaan akan mentadbir Yaman dalam tempoh peralihan selama dua tahun.

Perjanjian itu bagaimanapun gagal memenuhi permintaan puluhan ribu pembantah yang menggesa diadakan pembaharuan demokratik di negara itu.

Para pembantah yang berkhemah di ibu kota Sanaa dengan segera menolak perjanjian itu sambil meneriak: ‘Tiada keimunan bagi pembunuh itu!’, sambil berikrar akan terus memprotes.

Presiden Barack Obama mengalu-alukan keputusan itu, sambil berkata pihak Amerika akan berpihak kepada rakyat Yaman ‘sedang mereka memulakan peralihan bersejarah ini’.

Raja Abdullah juga memuji langkah Ali Abdullah Saleh itu sambil memberitahu rakyat Yaman bahawa rancangan itu akan ‘membuka lembaran baru dalam sejarah anda’ dan membuka jalan ke arah meningkatkan kebebasan dan kemewahan di negara itu. — Agensi.