Bangunan parti Baath Syria di bedil roket

1183

AMMAN: Sekurang-kurangnya dua serangan roket dilancarkan ke atas bangunan Parti Baath di Damsyik, semalam, kata para penduduk.

Ia merupakan serangan pertama pihak pemberontak di ibu kota Syria itu, sejak pemberontakan bermula lapan bulan terhadap Presiden Bashar al-Assad.

Serangan itu berlaku selang beberapa jam selepas Liga Arab tamat tempoh bagi Syria menghentikan tindakan kerasnya ke atas para pemberontak.

Bagaimanapun, keganasan terus berlaku dan Encik Assad masih ingkar di tengah-tengah langkah masyarakat antarabangsa mengasingkan beliau.

‘Pasukan polis keselamatan menyekat dataran tempat cawangan Parti Baath di Damsyik. Tetapi saya melihat asap berkepul-kepul ke udara dari bangunan itu dan pasukan bomba bergegas ke tempat itu,’ kata seorang saksi.

‘Serangan itu berlaku sebelum fajar dan bangunan itu hampir kosong. Kelihatannya ia seperti disengajakan untuk menyampaikan mesej kepada pihak rejim,’ kata saksi itu lagi.

Tentera Bebas Syria, yang terdiri daripada askar pemerintah yang berpaling tadah dan berpangkalan di Turkey, mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.

Bagaimanapun, tiada pengesahan mengenai dakwaan itu segera diperolehi kerana pihak berkuasa melarang wartawan daripada memasuki negara itu.

Jumaat lalu, puluhan lagi rakyat Syria dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara tentera rejim dengan para pemberontak.

Kelmarin, Encik Assad dipetik sebagai berkata bahawa beliau akan meneruskan tindakan kerasnya ke atas pemberontak walaupun tekanan antarabangsa semakin meningkat supaya beliau mengakhiri tindakan itu.

‘Konflik ini akan berterusan dan tekanan akan berterusan,’ kata Encik Assad kepada akhbar Britain, Sunday Times.

‘Bagaimanapun, saya menjamin kepada awak bahawa Syria tidak akan tunduk dan ia akan terus menentang tekanan yang dikenakan ke atasnya,’ tambah beliau.

Dalam satu klip video di laman akhbar tersebut, Encik Assad berkata Syria akan mengadakan pilihan raya pada Februari atau Mac depan bagi memilih parlimen dan menghasilkan perlembagaan barunya, termasuk satu pilihan raya presiden. — Reuters.