Pemuda PAS Perlu Tegas.

1783

Oleh : Mohd Haniff Abas

HULU TERENGGANU – Para Pemuda Parti Islam Se-Malaysia(PAS) perlu tegas dan berani di dalam mempertahankan dasar dan perjuangan Islam yang dibawa oleh parti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim berkata terutamanya apabila melibatkan isu-isu dalam negeri yang sebelum ini bebas dianjurkan ketika Umno-Barisan Nasional memerintah Terengganu.

“Istiqamahlah dalam mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan Islam supaya dapat diterapkan dalam sebuah pemerintahan”, ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah sempena Program Mukhayyam Qiyadi yang diadakan di Tasik Kenyir di sini, pada 11 November.

Ustaz Ridzuan Hashim sedang menyampaikan kuliah

“Menghadapi kemenangan adalah suatu cabaran yang sangat hebat, tetapi mempertahankannya jauh lebih mencabar, ” tambahnya lagi.

Program yang dianjurkan oleh Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus selama dua hari itu, bermula jumaat, 9 November telah dihadiri seramai 80 orang peserta.

“Ikhlaskan diri kita menerima dan mengisi kemenangan agar niat untuk mencari redha Allah SWT tidak luntur”, beliau mengingatkan.

Ustaz Ridzuan juga mengalu-alukan sumbagan idea dari para pemuda kepada kerajaan negeri khususnya dalam menangani perihal aurat, gejala sosial dan sebagainya.

“Ambillah iktibar daripada peristiwa ‘balath syuhada’, suatu titik hitam dalam sejarah Islam apabila kalah dalam peperangan hanya kerana niat yang tidak betul iaitu mempertahankan harta rampasan perang dari peperangan sebelumnya, ” pesan beliau lagi.

Oleh itu beliau mengingatkan agar jangan disebabkan kebendaan,  membantutkan perjuangan kita ke Putrajaya kerana perjuangan kita masih jauh.

“Berwaspadalah dan ambil perhatian tentang niat dan matlamat perjuangan yang kita asaskan dan bina selama ini agar dapat dipertahankan dan tidak terfitnah dengan kemenangan yang sedikit yang telah Allah SWT kurniakan”, ujar beliau lagi.

Beliau seterusnya berharap agar mencontohi sifat Khalid Al-Walid dalam kisah yang masyhur, yang terus berjuang kerana ALLAh SWT walaupun dipecat oleh Khalifah Umar Al-Khattab sebagai panglima perang.

“Kita perlu letak wala’ pada pemimpin, walaupun ada diantara keputusan yang dibuat oleh pimpinan tidak selari dengan kemahuan dan kehendak kita, korbankan pendapat peribadi, ” tambah beliau lagi.

Katanya, Pemuda mestilah istiqamah dengan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah kerana tarbiyyah adalah nadi kepada perjuangan.

“Lazimi usrah, sertai dan jayakan usrah zon sebagai satu ‘platform’ untuk membina jatidiri dalam setiap pemuda, ” ucapnya, mengakhiri kuliah tersebut.