0leh : Suhaimi Taib
Pendekatan politik boleh berubah berdasarkan kepada perkembangan semasa.
Sentimen PAS dan UMNO ialah kuasa Melayu Islam jangan sekali tergugat di Parlimen.
Apabila ia tergugat, kedua-dua parti ini, tidak akan duduk diam, berusaha dengan pendekatan dan tindakan masing-masing mencari jalan bagaimana kuasa Melayu Islam, kembali pulih di Parlimen.
DAP sebenarnya, telah berjaya memecahkan kuasa Melayu Islam dengan menarik kepimpinan terpencil dan tersisih dari PAS untuk menubuhkan parti baharu, Parti Amanah Negara (PAN).
Sebelum itu kuasa Melayu Islam terpecah dari UMNO dengan tertubuhnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas nama membela Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gerakan Reformasi – kini gerakan itu nampaknya tidak kemana setelah berkuasa di Putrajaya.
Kuasa Melayu Islam terpecah lagi dengan isu 1MDB, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak serta skendal yang didakwa menghantuinya.
Dan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama bekas Timbalan Presiden UMNO yang dipecat, Tan Sri Muhyidin Yasin, tidak mahu Najib kekal berkuasa di Putrajaya langsung menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang pada dasarnya sama dengan UMNO.
Parti-parti serpihan UMNO (PKR dan PPBM), bergabung membentuk Pakatan Harapan (PH) untuk berkuasa.
Kuasa-kuasa Melayu Islam berpecah-pecah dalam versi kerajaan dan pembangkang.
Tidak dinafikan bukan Melayu pun berpecah belah, dalam versi kerajaan dan pembangkang.
Rakyat semacam tidak kisah dengan situasi itu, sama ada kuasa Melayu itu bersatu di bawah satu pakatan atau tidak.
Sebab itu mungkin parti-parti Melayu tidak takut untuk berpecah dan bertekak di pentas politik kerana rakyat tidak kisah mereka berpecah.
Malah kebanyakan rakyat tidak terkesan dengan jumlah yang terpisah-pisah yang berlaku pada kuasa Melayu Islam di Parlimen setakat ini masih tidak benar-benar tergugat tetapi DAP dari parti terpencil dan chauvanis berupaya sekurang-kurang menjadi kuasa pengimbang kalaupun tidak menjadi kuasa penentu halatuju kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ertinya kuasa bukan Melayu sudah berakar umbi dalam sistem politik Malaysia dan bergerak ke arah menjadi kuasa penentu dalam percaturan politik negara ini.
Orang Melayu Islam, puratanya semacam tidak kisah dengn perkembangan ini.
DAP difahamkan merancang secara halus menjadi kuasa penentu halatuju dasar kerajaan PH hari ini.
Kuasa Melayu dalam PH begitu lunak terhadap bukan Melayu dalam beberapa isu termasuk LGBT, persamarataan kedudukan antara agama dan memperkecilkan perlaksanaan hukuman syarie di peringkat negeri.
Suara sumbang ini bukan sahaja datang dari PH tetapi datang juga dari beberapa orang pemimpin UMNO.
Itu mungkin suara peribadi bukan suara parti, tetapi dari segi politiknya, isu memperkasakan suara Melayu Islam mesti mendasar sehingga membabitkan soal isu-isu sensitif umat Islam.
Mereka tidak harus mempunyai pandangan negatif terhadap apa-apa isu yang berkait dengan kepentingan Islam dan umat Islam.
Mereka tidak boleh selari dengan idealisme liberal yang bercanggah dengan prinsip dan keutuhan agama Islam.
Dari segi politik, PAS boleh menerima UMNO sebagai rakan politik di saat PH menjadi Kerajaan Pusat.
Dengan adanya kuasa Melayu Islam di Parlimen di pihak pembangkang, PAS dan UMNO boleh menjadi kuasa pengimbang, ketika orang Melayu dengan manipulasi politik tidak sedar, betapa bahaya perpecahan kuasa Melayu Islam.
Kesedaran perlu digerakkan untuk memperkukuhkan kuasa Melayu Islam dalam mana-mana kerajaan di Malaysia.
Orang Melayu Islam mesti memikirkan kesan atau bahana apabila kuasa Melayu Islam boleh digugat dan tergugat.
Kerjasama PAS dan UMNO perlu bergerak di atas landasan untuk memperkukuhkan kuasa Melayu Islam dan mengembalikan semula kedudukan agama Islam dipersada kuasa.
PAS sebenarnya cukup berpengalaman berdepan dengan UMNO dan tahu sepak terajang politik.
Bekerjasama dengan PAS perlu jujur kerana parti itu cukup berwaspada dengan UMNO sebagaimana parti itu juga cukup berwaspada dengan PH atau entiti lain yang sedia terjalin hubungannya dengan PAS.
Sesuatu yang tidak menguntungkan PAS, sudah tentu ada garis panduan, langkah-langkah strategi dan keputusan kepimpinan parti itu telah dirancang, supaya tragedi 1974 tidak berulang kembali apabila PAS ditendang keluar dari Barisan Nasional (BN).
Kerjasama politik UMNO dan PAS dewasa ini, tidak ‘binding’ (tidak terikat) dengan mana-mana perjanjian bertulis atau lisan.
Ia adalah kerjasama longgar, boleh terhenti atau terungkai pada bila-bila masa sahaja.










