Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan pertempuran di selatan Syria telah memaksa lebih 270,000 penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.
Jurucakap PBB bagi Pelarian (UNHCR), Mohammad Hawari berkata, badan dunia itu menjangka pelarian di selatan Syria akan bertambah kepada 200,000 namun kini telah menjangkau kepada 270,000.
Tentera kerajaan Syria telah melancarkan serangan udara dan bom tong hampir dua minggu dalam usaha menguasai kawasan yang dimiliki kumpulan penentang di selatan wilayah Daraa.
Sementara itu, Jordan bersedia mengadakan perbincangan dengan Rusia minggu ini mengenai keadaan di selatan Syria dan mengurangkan keadaan krisis kemanusiaan di sana.
Menteri Luar Negeri Jordan, Ayman Safadi pada hari Isnin berkata beliau akan bertemu rakan sejawatannya dari Rusia, Sergey Lavrov di Moscow, minggu ini untuk membincangkan perkembangan di wilayah Deraa, berhampiran sempadan Jordan.
Pada hari Ahad, pemberontak di bandar Bosra al-Sham yang terletak di wilayah Deraa di selatan Syria menyerah dan dipaksa setia kepada Presiden Bashar al-Assad .
Jordan telah menjadi ‘orang tengah’ dalam perbincangan yang membawa kepada persetujuan, menetapkan pembangkang menyerahkan persenjataan berat kepada kerajaan.
Pertempuran terbaharu di sepanjang sempadan utara Jordan telah mendorong gelombang pelarian baru yang menuju ke wilayahnya.
Serngan dilancarkan pada 19 Jun, dengan usaha kerajaan Syria untuk menawan semula wilayah selatan Deraa, Quneitra dan sebahagian dari Sweida yang kebanyakannya dipegang oleh pejuang pembangkang.
Disokong oleh sokongan udara Rusia, pasukan yang setia kepada al-Assad telah mengambil alih kawalan wilayah yang hilang dan terus maju ke selatan di mana merupakan kawasan terakhir pembangkang tetap.




























