OLeh : Ahmad Amzad Hashim
Semalam sebelum Isya’ 25hb Januari 2018, saya selaku Penyelaras Parlimen PAS Kuala Terengganu telah menziarahi kematian Mendiang Soh Kit Cheng (103 tahun) Pemilik Perniagaan Letrik di Jalan Banggol, Kuala Terengganu.
Mendiang sekeluarga adalah sahabat baik kami dan berjiran dengan Pejabat Penyelaras Parlimen PAS Kuala Terengganu.
Mengiringi sama oleh Pengarah Majlis Tindakan DUN Bandar, Ustaz Ahmad Shah, Ketua DHPP Kuala Terengganu, Jefri Chua dan pegawai Parlimen PAS Tuan Syed Ali.
Sebelum itu diwaktu tengahari saya berkesempatan berbual dengan anak mendiang, Encik Koh Kim Huat yang sudah pun berumur 70 tahun.
Dia berseloroh sambil berkata, “susah jadi orang cina ni……Nak idup banyok pakai pitih. Nok matipun banyok pakai pitih”
Saya tahu walau dia berseloroh, ada kesungguhannya dalam ucapannya.
Beliau mengeluh tentang kos pengurusan jenazah kematian kaum Cina di Terengganu yang pada masa ini sekitar RM20 ribu setiap seorang. Ia meliputi kos rumah mayat, keranda, kubur dan pelbagai lagi.
Ia adalah 10 kali ganda kos pengurusan jenazah bagi orang Islam.
Kalau di KL, lagi mahal kosnya.
Hari ini berlaku lagi kematian seorang bekas anggota polis, Mendiang Tan Hai Ann.
Ada yang cadangkan supaya dikemukakan cadangan manifesto bantuan meringankan beban urusan kematian bukan Islam.
Saya berpendapat mengapa tidak?
Sama seperti orang Islam. Bukan Islampun ramai yang miskin dan tidak mampu yang perlu dibantu.
Mungkin perlu ulama beri pandangan bidang mana boleh dibantu selain bidangkuasa bawah kerajaan negeri berkaitan kemudahan yg mereka perlukan, kawasan misalnya.
Di Kelantan, PAS memperkenalkan Skim Kifalah untuk membantu rakyat semua kaum dalam pengurusan kematian. Ada bantuan sehingga RM1,500.00.
Terengganu mungkin berupaya berbuat lebih baik lagi. Mengapa tidak?










