Oleh : Azizah Mahmood
Kenyataan dalam Malaysia kini yang bertajuk “Dentuman Petir Ganggu Ceramah Singa PAS” oleh N Faizal Ghazali umpama buah cempedak di luar pagar………..yang berakhir dengan kalau salah tolong tunjukkan.
Apa yang jelas mereka ini baru belajar mentafsir alam. Petir dan kilat pada mereka rasa seolah-olah ‘bala’ buat PAS apabila berlaku kejadian tersebut pada waktu ucapan kemuncak Dato’ Ustaz Nasaruddin Daud malam pertama Fastaqim 2.0.
Tahukah saudara Faizal bahawa tidak ada seorang pun hadirin pada malam semalam yang berganjak hatta walau kilat dan petir berdentum.
Walaupun ‘sound system‘ tergendala, namun ia hanya sementara. Allah terus menghantar bantuan dan ceramah di teruskan, tetapi mungkin ‘budak’ Faizal yang lari ketakutan berlindung dari petir dan dari ‘singa’ PAS (seandainya beliau hadir).
Jika hidung sentiasa menghidu bau sampah, dia takkan menghidu wanginya kasturi bahkan sampah juga menyelusup masuk lubang hidung mereka yang memang awal hingga akhir kerana tidak dikurniakan deria rasa normal.
Pada istilahnya mereka ini adalah ‘OKU’ (orang kuat Umno) yang sentiasa mencari salah PAS, walaupun fenomena yang berlaku bukan urusan manusia.
Fastaqim 2.0 dilangsungkan di tepi pantai Tok Jembal dengan suasana meriah dan nyaman, namun orang-orang yang biasa tinggal di tepi laut, sudah masak dan pasti tahu tentang ‘semulajadi alam ciptaan Allah ini.
Apabila hujan turun pastinya angin kencang, dan “kalau takut bermain ombak jangan berumah di tepi pantai”.
Maka kami orang-orang PAS, yakin akan segala kejadian dari Allah dan hanya dengan kekuasaan Allah, kami berlindung.
Maka di sini kami berlabuh di pantai Tok Jembal ini, usahkan kilat dan andai kilat sabung menyabung dan guruh berdentum di langit, hatta kamu ditakdirkan mati dan bertemu dengan Allah jua, kami masih setia bersama PAS.
Ia adalah kerana tidak ada satu parti politik yang akan dapat menyelamatkan manusia di dunai ini dan di akhirat nanti, kecuali siyasah yang berdasarkan kepada Islam, yang menjadikan al-Quran dan As-Sunnah, Ijmak dan Qias sebagai panduan.
Perasaan dan tafsiran nakal ‘anak’ Faizal seakan budak kecil yang bila terjadi kilat menyambar dan guruh berdentum, akan menutup mata dan telinga serta terkencing-terkencinglah ia, kerana takut.
Jadilah sebagai seorang yang dewasa, yang besar dan subur dengan Islam, apabila berlakunya apa jua kejadian, akan sentiasa membasahkan lisan ‘zikrullah’!










