Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Sosok ini terus menjadi kenangan kolektif kita semua. Menjadi aktivis semenjak zaman remaja, idealis kampus serta aktivis yang berani mendombrak kezaliman sehingga mendekam dalam tahanan ISA. Ustaz Dato’ Abu Bakar Chik adalah kejora di langit malam yang menghiasi rentang perjuangan PAS lebih tiga dekad. Memimpin anak-anak muda, bahkan dengan gaya pemberani serta tegas, beliau singa jalanraya yang memimpin puluhan siri bantahan awam di negara ini. Watak pemberani yang dikacuk dengan sifat dahagakan ilmu pengetahuan, beliau adalah calon Doktorat UNISEL sehinggalah beberapa hari sebelum ramadhan tiga tahun yang lepas dijemput Ilahi kembali ke negeri abadi. Masa yang pantas bergulir dalam tempoh tiga tahun ini sehingga kita merasakan bahawa beliau baru sahaja meninggalkan kita dengan senyuman khasnya itu.
Tokoh ini bukan kepalang iltizamnya dengan perjuangan Islam semenjak zaman remaja, menjadi nukleus awal ABIM di Terengganu dalam dekad 70an bersama Dr Abu Bakar Abdullah, Hj Husien Ismail, Cikgu Sapinah Jusoh, dan lain-lain anak muda berjiwa Islam yang sedang dibius semangaat kebangkitan Islam. Beliau dan teman-temannya telah menubuhkan Institut Berakan, sebuah sekolah tajnid yang menawarkan pendidikan kepada anak-anak remaja di pinggir bandar Kuala Terengganu. Pusat kaderisasi dakwah itu akhirnya dirobohkan oleh regim BN pada tahun 1991. Beliau dan teman-temannya dengan pantas mendirikan semula wadah pendidikan ummah ini, kini kompleks MTT Tok Jiring yang bersebelahan dengan kediamannya adalah salah satu mercu tanda pendidikan Islam di Terengganu.


Beliau menyertai PAS dalam tahun 1981, seterusnya bertanding dalam PRU 1982 dan memenangi DUN Jeram. Ikon anak muda Malaysia ini, yang juga ketua Pemuda PAS Terengganu itu ditahan di khemah politik ISA, mendekam di Kamunting selama dua tahun pada tahun 1984. Sekali lagi namanya mencuat untuk ditahan dalam operasi Lalang pada tahun 1987. Almarhum menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat yang ke-13, mengasaskan banyak institusi semasa membahterai pemuda termasuk Jabatan Pelajar, PASTI, JKS, SRIP dan pelbagai lagi.


Ustaz Abu Bakar Chik adalah antara pengasas Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bersama Tuan Guru Haji Hadi, Ustaz Harun Taib, Ustaz Awang Nasruddin Abj Bakar, Ustaz Hussein Awang dan menjadi sebuah sekolah kader terbesar PAS. Beliau juga terlibat mengasaskan Darul Taqwa Kuala Nerus, sekolah rendah Islam di bawah Dewan Ulama Terengganu. Kecintaan almarhum kepada dunia pendidikan menyebabkan jamaah memberikan amanah beberapa penggal kepadanya untuk mempengerusikan Lujnah Pendidikan PAS Pusat.


Terlalu banyak yang perlu saya coretkan untuk sosok pejuang yang merupakan murabbi, kekanda, teman baik saya ini, namun saya mengejar masa untuk menziarahi jenazah almarhum di Terengganu. Sejujurnya, Dato Abu Bakar adalah sumber inspirasi yang tak pernah malap, sehingga kami generasi pemuda Islam dekad 90an, menggelarkannya secara diam “alfatihah”,kerana almarhum pantang berkumpul lebih tiga orang, akan terus membuka majlis dengan ummul kitab. Maknanya kami akan terus bermesyuarat untuk merancang pelbagai program jamaah Islam tercinta ini. Alfatihah buat maestro perjuangan, kami akan terus menyambung legasi perjuangan Islam ini sehingga nafas terakhir.





























