Pertemuan PAS-Bersatu; Sempadan PAS Tanpa DAP Dan PAN

5793

Oleh : KAM

KUALA TERENGGANU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan syarat tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS telah meletakkan garis panduan kerjasama parti itu dengan mana-mana parti sebagai sempadannya.

Menurutnya, PAS tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang membuat kerjasama dengan parti DAP dan PAN.

Berikut adalah temubual antara wakil media dengan Dato’ Seri Abdul Hadi selepas Majlis Jamuan Sambutan Tahun Baru Cina 2017 di perkarangan Pejabat Penyelaras Parlimen PAS Kuala Terengganu dan Dewan Penyokong PAS Kawasan Kuala Terengganu, di sini, Khamis 2 Februari.

Sambutan masyarakat Tionghua terhadap penganjuran program itu amat menggalakkan serta dalam suasana mesra dan ceria.

Soalan (S): Dato’ Seri, nok tanya mengenai kerjasama dengan antara PAS dengan Bersatu?

Jawapan (J): Belum ada kerjasama…pertemuan sahaja ada, kita (PAS) bertemu dengan semua (pihak) tetapi keputusan mesti dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan tidak boleh sesiapa pun yang buat keputusan.

S: Tapi, katanya ada pertemuan antara PAS dengan Bersatu di Kuala Lumpur?

J: Semalam (1 Februari) ada pertemuan dimaklumkan kepada saya ada pertemuan itu. Dia orang minta, Bersatu minta untuk berjumpa dengan PAS. Jadi, Timbalan Presiden berjumpa dengan Dato’ Seri Mukhriz. Kita (PAS) dengar saja (dulu) tapi belum ada (buat) apa-apa keputusan.

S: Apa hasil pertemuan semalam, Dato’ Seri?

J: Hasil (pertemuan) belum dilapor kepada saya. Kita (PAS) telah membuat satu garis panduan iaitu kita tidak bekerjasama dengan parti yang membuat kerjasama dengan DAP dan PAN. Itu sempadan yang kita buat…sempadan. Sekarang kita nilai dulu apa sikap Bersatu dengan DAP, dengan PAN. Apakah hal-hal yang lain yang berkait dengan PAS. Kita perlu mendapat maklumat yang detail.

S: Jadi, rundingan ini jelas melihat kepada hubungan baik antara PAS dengan Bersatu?

J: Bukan rundingan, (tapi) pertemuan. Dia orang (Bersatu) minta jumpa.

S: Bagi pihak PAS sudah bagitahu syarat-syarat PAS kepada Bersatu?

J: Ya, kita maklumkan dan segala apa akan dipulangkan balik kepada saya. Kita (PAS) mahu yang pertamanya ialah kita mahu politik matang dan sejahtera. Kita tidak mahu politik fitnah, politik tegang…kita tak mahu. Ini pendirian PAS.

S: Adakah Dato’ Seri (Abdul Hadi) merasakan bahawa pertemuan ini akan berjaya ke meja rundingan dan melihat ada usaha untuk ke arah bergandingan antara Bersatu dengan PAS?

J: Kita tak ada maklumat-maklumat yang sepenuhnya dan sehingga ini ialah pertemuan dan kita memerlukan laporan daripada mereka yang terlibat dalam pertemuan itu. Kerana semua pihak hendak bertemu, kita berjumpa dengan semua pihak (termasuk) dengan Umno, dengan MCA, dengan Gerakan, dengan MIC. Jumpa semua.

S: Setakat ini belum ada apa kata putus lagi?

J: Belum ada keputusan…belum ada.

S: Salahuddin (Ayub) ada mengatakan bahawa, Dato’ Seri (Abdul Hadi ) mimpi di siang hari untuk dapat (memerintah) balik Terengganu, Kedah dan menang sekurangnya 40 kerusi parlimen tanpa kerjasama dengan mana-mana parti. Boleh ulas sedikit kenyataan itu?

J: Jika kita tidur baik siang pun boleh mimpi, malam pun boleh mimpi dan yang pentingnya tidur dengan baik (ketawa), jangan tidur dalam keadaan yang susah, rungsing. Kita (PAS) tak mimpi, kita berpijak di bumi kenyataan. Kita punya 190 kawasan seluruh negara. Daripada 222 parlimen, PAS ada kawasan 190 kawasan (parlimen) kita. Kita ada cawangan seluruh negara. Parti lain, DAP, PAN (Parti Amanah Negara) tak ada kawasan, tak ada cawangan…dia bergerak atas angin. Kita berpijak di bumi kenyataan.

S: Jadi, apakah pada pilihan raya akan datang PAS akan keseorangan atau macam mana?

J: Terpulang kepada penyelesaian blok ketiga yang kita (PAS) kemukakan. Blok ketiga itu bukan lagi Pakatan Rakyat, apatah lagi Pakatan Harapan. Blok ketiga kita.

S: Maksudnya, PAS akan berdiri sendiri?

J: Berdiri dengan sesiapa sahaja yang sanggup bersama dengan (parti) kita. Bukan semestinya sendiri. Kita menjemput sesiapa sahaja bersama dengan kita (PAS).

S: Bagaimana dengan PAS Selangor?

J: PAS Selangor pun dia kena ikut PAS Pusat. Itu juga akan dilihat kepada sejauh mana laporan jentera-jentera kita bekerja. Kita tidak mahu laporan atas angin. Kita mahu jentera kita bekerja.

S: Pandangan yang (bersama) parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan MIC?

J: Kita tidak menyertai BN. Kita boleh bekerjasama dalam isu-isu bersama untuk kepentingan rakyat. Tetapi, pilihan raya kita berasingan.