Penganugerahan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din adalah sebagai pengiktirafan terhadap usaha beliau memartabatkan Islam dan menyebarkan ilmu agama tanpa batasan di negara ini, kata anaknya.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan anugerah itu yang membawa gelaran ‘Datuk’, kepada anak keempat allahyarham, Najmi Haron, 36 sempena hari keputeraan baginda ke-71 di Istana Alam Shah di sini semalam.
Menurut Najmi, baginda sejak awal tahun ini telah menyenarai nama allahyarham sebagai calon untuk dikurniakan darjah kebesaran tersebut, namun bapanya telah meninggal dunia pada 16 Sept lepas di Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.
“Tuanku Sultan memang merancang untuk menganugerahkan anugerah ini kepada ayah saya sejurus selepas pulang menerima rawatan di Amerika, tetapi Allah S.W.T mengambilnya lebih awal.
“Namun, saya rasa bersyukur sebab dapat menerima anugerah ini bagi pihak ayah saya atas pengorbanannya memartabatkan Islam di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah itu.
Allahyarham Haron menghembuskan nafas terakhirnya pada 16 Sept lepas di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat setelah sekian lama menghidapi penyakit jantung.
Sepanjang hayatnya bermastautin di Bangi, allahyarham Haron merupakan tokoh ulama tersohor dan sentiasa berusaha menggerakkan perpaduan melalui syarahan agama serta tazkirah di masjid sekitar Selangor.










