Badminton Ketandusan Pelapis

1655

Oleh : Syer Ameir

Badminton menutup tirai Olimpik Rio 2016 dengan prestasi amat mengkagumkan apabila mengungguli hatrik tiga pingat perak dalam acara badminton Olimpik Rio.

Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang menjinakkan jagoan China Lin Dan pada aksi epik peringkat separuh akhir dua hari lalu telah tewas dalam perebutan emas kepada seorang lagi jagoan China Chen Long dengan 18-21, 18-21 malam kelmarin.

Pastinya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu berbuat sesuatu bagi mengetengahkan pemain pelapis mulai sekarang kerana kelemahan ketara kita ialah terlalu mengharapkan Datuk Lee Chong Wei untuk memenangi emas sulong Malaysia pada setiap kali temasya Olimpik berlangsung.

Semacam ada sesuatu yang tidak kena dengan program pembangunan Badminton negara kita. Kita dapat melihat ada jurang yang sangat besar antara Datuk Lee Chong Wei dengan pemain-pemain negara yang lain. Justeru itu, BAM seharusnya mencari sebab mengapa keadaan sedemikian berlaku dan sehingga kini, BAM masih tidak dapat melahirkan pemain berbakat sebagai pengganti kepada Datuk Lee Chong Wei.

Penambahbaikan perlu dibuat oleh BAM bagi menghadapi cabaran akan datang. Pembangunan seawal usia 12 tahun serta penyediaan satu skuad yang mantap bukan mengharapkan kepada seorang pemain sahaja. Seharusnya perkara tersebut diberi perhatian yang khusus oleh BAM.

Kejayaan demi kejayaan yang diraih badminton China seharusnya dijadikan contoh buat negara terutama dari segi pembangunan atlet muda. BAM perlu belajar cara bagaimana membangunkan lebih banyak bakat muda daripada hanya bergantung sepenuhnya kepada satu dua pemain.

Peminat badminton sudah pasti mengingati nama-nama seperti Zhao Jianhua, Yang Yang, Xiong Guobao pada era 80an dan 90an manakala diera milenium pula Xia Xuanze, Bao Chunlai, Lin Dan serta Chen Long. Ternyata China tidak mempunyai masalah untuk melahirkan pemain-pemain bertaraf dunia. Mereka boleh dianggap sebagai kilang melahirkan pemain-pemain hebat sepanjang zaman.

Akhirnya sekali, kita masih menunggu seorang lagi/satu pasukan lagi yang mampu memenangi emas di Olimpik. Untuk rekod, badminton telah terlalu lama mengecewakan kita untuk kilauan emas Olimpik dan diharapkan pihak yang berkepentingan mencari alternatif dan bersungguh-sungguh melahirkan atlet yang boleh memberikan hadiah emas penantian untuk rakyat Malaysia.

***Penulis adalah Timbalan Ketua DACS Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu