Oleh : Dr Suhazeli Abdullah
Saya sempat dua kali ceramah bersama Sahibus Samahah (SS) Datuk Mufti Wilayah Persekutuan. Kali pertama di Hospital Bahagia Ulu Kinta Perak dan kedua di Auditorium Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya. Kedua-duanya isu perubatan vaksin dan hukum berkaitan dengannya. Pandangan beliau cukup jelas beserta hujah yang digali dari Al Quran, hadis dan para ulamak yang muktabar.
Beliau adalah seorang yang sarat dengan ilmu, penuh tawadduk dan tidak menyombong diri. Saya mula mengenali beliau dengan hasil tulisan samada dalam bentuk kitab, tulisan makalah, akhbar mahupun tulisan maya. Cukup memberangsangkan dan kagum dengan ulasan yang terkedepan. Beliau memahami konsep setiap isu dan memberi pandangan cukup berhemah.
Beliau pernah menceritakan dalam ceramah, satu peristiwa sekitar enam bulan lepas semasa isu vape menjadi viral.
“Ada seorang lelaki teringin sangat bertemu dengan saya. Penting sangat katanya. Saya syorkan melalui PA saya agar lelaki tersebut datanglah ke pejabat.” Ceritanya dalam nada tenang.
“Tetapi lelaki tersebut tidak mahu bertemu di pejabat. Justeru saya kata boleh lah berjumpa sebaik sahaja lepas Isyak di salah satu masjid yang secara bulanan saya berkuliah maghrib di sana.” Terusnya lagi.
“Seusai solat isyak lelaki berkenaan terus jumpa saya sambil membawa sebotol air mineral.”
“Yang berbahagia Datuk, terlebih dulu saya nak minta maaf banyak pada Datuk.” Lelaki itu mulakan bicara.
“Saya dengar dengan penuh minat”.
“Saya nak minta maaf banyak-banyak kerana sebelum ini Datuk lah orang yang paling saya benci. Apa sahaja kenyataan Datuk berkenaan isu Vape, saya lah yang paling lantang menentang dan mencaci Datuk dalam facebook”. Sesal lelaki berkenaan.
“Saya tiada reaksi apa-apa pun. Sebab biasanya saya, setelah buat kenyataan sesuatu fatwa, pihak media akan siarkan. Admin facebook saya akan upload. Saya seperti biasa. Sebab saya tak baca pun komen-komen dalam facebook. Rugi masa. Jadi saya tak terasa sedih dan terhina. Yang utama adalah, ilmu telah saya sampaikan kepada masyarakat” ulas panjang beliau semasa ceramah.
“Sebab saya nak jumpa secara personal dengan Datuk ni kerana sudah lebih sebulan saya dihinggapi penyakit pelik. Mulut saya penuh ulcer. Sudah macam-macam ubat dan doktor pakar dah saya jumpa, masih belum baik. Kawan-kawan tegur saya- mu ada kata huduh ke orang dok? Kalu kata huduh (caci maki), elok pergi minta maaf. Jadi, kawan-kawan saya syor supaya jumpa Datuk untuk mintak maaf atas keterlanjuran cacian dan makian saya selama ni”. Lelaki tersebut mengaku insaf sambil hulurkan air mineral utk SS Datuk Mufti rukyahkan.
Cerita ini digantungkan sebegitu ketika ceramah Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri. Konklusi dibiarkan para pendengar membuat telahan sendiri. Tanpa membanggakan diri dapat saya simpulkan beliau memaafi sesiapa sahaja yang memaki mencaci peribadi beliau.
Apabila isu Pokemon viral sekarang, hal yang sama akan timbul. Saya yakin Datuk Dr Zulkifli tenang dan tidak melatah reaksi negatif. Sesungguhnya beliau sedar bahawa ulasan beliau berkait isu Pokemon ini berdasarkan ilmu bukan nafsu. Sebaliknya para pencaci bertindak atas dasar benci dan nafsu. Bukan juga hujah ilmu.
Saya menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh SS Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri bagi mendidik dan mentarbiah masyarakat. Usaha Datuk akan dinilai sebagai permata yang bersinar dimalam yang kelam. Tahniah Datuk, saya akan bangkit bersama.










