Oleh : Wan Mohd Faizul Wan Abas
GANTI terpanggil untuk memberi pandangan terhadap pengumuman Lembaga Lebuhraya Malaysia berkaitan kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 yang dibuka sejak 31 Januari 2015 lalu, bakal bermula *jam 00.01 pagi, 15 Julai 2016* ini.
Kami ingin tegaskan bahawa kutipan tol ini tidak wajar sama sekali berdasarkan beberapa faktor:
Pertama, GANTI pernah mengemukakan dapatan kajian lapangan pada tahun lalu yang mendedahkan pelbagai kekurangan yang ada pada LPT2 seperti jalan beralun, pemantul cahaya yang kurang berfungsi, susur masuk ke sesetengah hentian RNR yang bahaya, masalah pagar banyak berlubang serta rosak, ketiadaan stesen minyak dan pelbagai masalah sampingan yang lain.
Persoalannya, adakah semua ini telah berjaya diatasi dengan baik? Setahu saya, stesen minyak sebagaimana yang lazim ada di lebuhraya LPT1 sehingga kini masih belum ada di sepanjang 184 km LPT2. Cuma yang ada ialah sebuah mini stesen minyak Petron dengan satu pam sahaja di Hentian RNR Kerteh.
Kedua, kos pembinaan LPT2 menggunakan sepenuhnya kewangan kerajaan, dan bukannya datang daripada syarikat konsesi.
Ketiga, dengan wujudnya telaga-telaga minyak yang diusahakan Petronas Carigali menyumbang sejumlah besar kewangan negara itu datangnya di perairan Terengganu, sewajarnya rakyat Terengganu diberikan hak menikmati kemudahan lebuhraya tanpa tol.
***Wan Mohd Faizul Wan Abas ialah Presiden Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI)










