Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Presiden PAS, YB Tuan Guru Abdul Hadi Awang kerana telah berjaya membentangkan usul persendirian Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat hari ini. Tindakan ini membuktikan komitmen padu PAS untuk memartabatkan Syari’ah Islam walaupun ditentang oleh beberapa pihak yang lain.
Ia telah melakar satu tanda aras baru dalam perjuangan Islam di Malaysia. Lebih 20 tahun usaha ini telah dirintis, akhirnya ia telah berjaya direalisasikan dalam kapisiti yang termampu buat masa ini. DPPWP yakin, usaha dan usul PAS ini pasti akan mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak. DPPWP ingin menegaskan bahawa kami akan bersedia untuk membentengi PAS daripada tujahan pihak-pihak tertentu.
Secara tidak langsung, ia menjawab dakwaan PAN sebelum ini. PAN menuntut PAS meminta maaf kerana dituduh mempolitikkan agama (hudud) sehingga memecah belahkan koalisi Pakatan Rakyat. Sebaliknya, PAS tegar konsisten memperjuangkan Islam termasuk undang-undang Syari’ah. PAS tidak pernah melakukan ‘u-turn’ dalam usaha ini. Malah, ia selari dengan titah Yang Di-Pertuan Agong untuk memperkasakan mahkamah Syari’ah pada bulan Mac yang lalu.
DPPWP juga mengingatkan beberapa ahli Parlimen PAN yang lantang mengkritik usaha ini agar berhati-hati dalam memberikan kenyataan termasuk di media sosial. Jangan kerana tidak puas hati, terus mempertikaikan usaha untuk memartabatkan Syari’ah Islam di Malaysia. Dahulukan kepentingan Islam melebihi kepentingan politik yang sempit.
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan










