Oleh : Dr Azman Ibrahim
Ahmad bin Kib, 75 tahun hanya seorang petani biasa. Mengerjakan kebun di kawasan rizab jalan dan rizab sungai di Kampung Jaie, Sadong Jaya.
Bercucuk tanam padi huma dan jagung sekadar sebagai usaha sara diri.
Dia datang mengunjungi kami yang sedang bergotong-royong membaiki jambatan kayu yang menyemberangi Sungai Jaie sebagai satu dari program kemasyarakatan kami di Sadong Jaya.


Saya baru mendapat maklumat rupanya padi huma memerlukan masa 9 bulan sebelum boleh diketam. Ketamnya menggunakan cara tradisional.
Orang di situ berbisik kepada saya. “Itu orang lama kita dalam PAS.”
Mendengar bahawa beliau orang lama dalam PAS, terus saya mendekatinya dan berjalan bersamanya menuju ke kebun. Tentu sekali ini insan istimewa.
“Saya dah 18 tahun dalam PAS.” Kata Pak Cik Ahmad bin Kib.
Ooo… lama tu.
Beliau memiliki 4 orang anak yang kesemuanya telah berjaya dan berumahtangga. 2 daripada anaknya bertugas sebagai guru siswazah. Seorang mengajar di Melaka sementara seorang lagi mengajar di Kuching. Seorang menjawat jawatan Pegawai Kebajikan Masyarakat sementara yang bongsu bertugas sebagai mekanik juga di Kuching.
“Alhamdulillah… semua anak saya Allah bagi berjaya.” Ucap Ahmad penuh kesyukuran.
“Semua mereka insyaAllah akan balik mengundi nanti.”
“Balik undi apa Pak Cik?” Tanya saya sambil bergurau.
“Tentu balik untuk undi PAS!” Jawab Pak Cik Ahmad.






























