Oleh : Dr Azman Ibrahim
Semalam saya merasmikan mesyuarat Agong PAS Cawangan Gong Nangka, Jabi untuk kali yang ke 5. Mesyuarat Agong Cawangan Gong Nangka ini mengingatkan saya pahit getir yang kita lalui sehingga akhirnya cawangan ini berjaya ditubuhkan sebagai ahli keluarga besar PAS DUN Jabi 5 tahun lalu.
Agak menarik kerana ceramah umum sempena penubuhan cawangan ini dihadiri oleh Mat Sabu yang ketika itu baru memenangi jawatan Timbalan Presiden PAS. Dia dah janji dengan saya, lepas menang jawatan Timbalan Presiden, dia akan datang ke Jabi. Ketika itu Mat Sabu adalah antara penceramah yang mampu menarik ribuan audien untuk hadir.
Tragedi yang tak disangka ketika himpunan BERSIH kira-kira 2 minggu sebelum Mat Sabu dijadualkan datang ke Jabi, beliau terlibat dalam kemalangan sehingga terpaksa berkerusi roda.
Saya masih ingat, untuk memudahkan pergerakan beliau menggunakan kerusi roda dalam flight, saya beli tiket business class dari KL ke Kota Bharu untuk Mat Sabu dan isterinya dengan duit poket sendiri walau saya sendiri tak pernah sentuh seat business class dalam flight.
Hehehe… masa mesyuarat Gong Nangka semalam, jumpa dengan seorang anggota keselamatan PAS Jabi yang ditugaskan mengiringi Mat Sabu sepanjang program ceramah tersebut.
Dia kata…
“5 tahun dulu ambo angkat Mat Sabu dari tempat penginapan naik kereta, sampai tempat ceramah ambo angkat lagi turun dari kereta lepas tu angkat naik atas rumah untuk makan nasik. Lepas makan, ambo angkat pulok turun dari rumah dan angkat lagi naik kereta. Sampai dekat pentas ambo angkat pulok turun kereta dan angkat naik atas pentas. Lepas selesai ceramah, ambo angkat turun dari pentas dan angkat semula naik kereta!”
“Kalu ambo tahu dia nak jadi kuca lagu ni, masa tu lagi ambo rembah doh!!!”
Hahaha… ambo hanya senyum. Tapi inilah sebenarnya isi hati petugas PAS di peringkat bawah. Sayang mereka kepada pimpinan usah dipertikai. Tapi bila pimpinan khianat, maaf… tiada ampun bagimu.
***Dr Azman ialah Pengerusi Majlis Tindakan DUN Jabi






























