Oleh: Zaiem Al-Hilmee
Kejatuhan sistem Khilafah Daulah Uthmaniyyah secara total pada 03 Mac 1924 merupakan luka yang amat dalam untuk umat Islam. Bahkan sebenarnya tanda kejatuhan Daulah Uthmaniyyah sebenarnya berlaku lebih awal pada tahun 1909H tatkala Khalifah Sultan Abdul Hamid II diusir dari Istana dan dikurung di penjara tua milik Yahudi di Salonika kemudian diganti dengan sultan boneka tajaan Attaturk.
Dosa yang menyebabkan pihak Barat dan Yahudi cuba menghapuskan Sultan Abdul Hamid II dan Daulah Uthmani apabila sultan mengisytiharkan projek “Kesatuan Islam” selain kemahuan Zionis yang ingin memiliki Palestin tidak dipersetujui oleh Sultan. Sultan Abdul Hamid II berkata, “Kenapa kita mesti meninggalkan al-Quds sedangkan ia adalah bumi kita setiap masa dan zaman. Ia tetap akan kekal sebagai bumi kita. Ia adalah bandar yang suci. Ia berada di atas bumi Islam. Al-Quds mesti terus menjadi milik kita”.
Rancangan projek Kesatuan Islam yang dipelopori oleh ulamak, sultan dan tokoh umat Islam samada dari utara, selatan, timur dan barat yang memberikan kesetiaan dan ketaatan kepada Daulah Uthmaniyyah dalam mengadapi perancangan negara-negara Eropah. Ini kerana negara Eropah melakukan pakatan dan konspirasi terhadap Daulah Uthmaniyyah kerana ia sebuah negara Islam. Apatah lagi, beberapa faktor dalaman dan luaran yang menyebabkan Sultan Abdul Hamid II memperjuangkan idea Kesatuan Islam. Sultan Abdul Hamid II percaya dan berkeyakinan bahawa Kesatuan Islam dapat menghalang kemaraan penjajah dan gerakan kristianisasi dalam dunia Islam.
Seruan mengenai penyatuan umat Islam dan pembaharuan umat telah tersebar meluas selepas tahun 1882H. Seruan itu mengajak agar orang-orang Islam di dalam Daulah Uthmaniyyah hendaklah disatukan di bawah pimpinan sultan kerajaan Uthmaniyyah manakala umat Islam yang berada di luar Daulah Uthmaniyyah hendaklah menyokong khalifah kerajaan Uthmaniyyah dalam memperjuangkan kemerdekaan mereka dari kekuasaan Eropah.
Beberapa pendekatan Kesatuan Islam yang dilakukan oleh Sultan Abdul Hamid II antaranya memberi keprihatinan yang tinggi kepada dua Tanah Haram dan Masjid Al-Aqsa, memfokuskan kepentingan tanah Hijaz, pemuliaan dan perlindungan kepada para jemaah Haji, projek landasan keretapi bermula dari stesen al-Akhdar, 760km ke selatan Damsyik hingga ke bandar Madinah Al-Munawwarah, penyebaran kitab-kitab Islam ke seluruh dunia, menggerakkan tariqat-tariqat sufi memenuhi kepentingan idea Kesatuan Islam dan polisi pengaraban Daulah Uthmaniyyah.
Britain berusaha menganggu projek Kesatuan Islam hingga berjaya menjajah benua India, Mesir dan Sudan. Projek landasan keretapi disabotaj. Rusia pula telah melancarkan peperangan terhadap Daulah Uthmaniyyah sehingga berjaya merampas sebahagian wilayah Uthmaniyyah dan membantu penubuhan negara Kristian merdeka seperti Yunan, Serbia, Romania dan Bulgaria pada perang Daulah Uthmaniyyah-Rusia tahun 1877-1879H manakala Perancis pula menawan Algeria dan barat Algeria iaitu Tunisia.
Rancangan menggagalkan Kesatuan Islam telah diputuskan di kalangan negara-negara penjajah dan mereka bersetuju untuk saling memahami dan bekerjasama bagi membahagi-bahagikan bumi milik Daulah Uthmaniyyah. Pihak orientalis dan Kristianisasi meneruskan perancangan untuk menghapuskan rancangan Kesatuan Islam dan menyingkirkan Sultan Abdul Hamid II. Sultan Abdul Hamid II menyedari pihak Salibiyyah bersatu menentang menghadapi Daulah Uthmaniyyah dan baginda berkata, “Serangan Salibiyyah sebenarnya terus berlaku ke atas Daulah Uthmaniyyah, tetapi menggunaan nama dan label-label yang pelbagai”.
Lawrence Brown pernah menyatakan bahaya Kesatuan Islam dan Sultan Abdul Hamid II kepada negara penjajah. Katanya, “Jika umat Islam bersatu di dalam satu negara Islam, mereka boleh membahayakan dunia (kristian), tetapi jika mereka terus berpecah, mereka akan terus tidak mempunyai apa-apa pengaruh.
Idea rancangan Kesatuan Islam ini telah menjadi harapan dan cita-cita umat Islam kini, sehingga terlaksana kesatuan umat yang pernah dilakukan oleh Sultan Abdul Hamid II. Dunia Islam menantikan kehadiran ‘Sultan Abdul Hamid II era moden’ yang meneruskan projek Kesatuan Islam yang pernah memberikan impak besar terhadap dunia Islam pada suatu masa yang lepas.
***Zaiem Al-Hilmee ialah Anggota Sekretariat Asian Federation of Muslim Youth (AFMY) dan Setiausaha Panitia Ijtima’ Kepimpinan AFMY dan AGM Kali Ke-8. Beliau juga adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah










