Adik Haseef………..Kami Menyayangimu

1262

Oleh : Dr Azman Ibrahim

Ketika saya bersama Saudara Abdul Hadi Mohamad, Setiausaha Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu tiba di rumah Dr Siti Sabarian Samian dan Encik Mohd Azalan di Telok Panglima Garang Selangor, kami disambut mesra oleh Encik Mohd Azalan. Sambil berbual mesra dan bertanya khabar di anjung rumah yang di kelilingi ladang kelapa sawit sambil menunggu ketibaan Pesuruhjaya PAS Terengganu dan rombongan, saya cepat merasa kagum dengan ketinggian peribadi, kemesraan ukhuwwah dan sifat kasih sayang yang dipamerkan di wajah Encik Mohd Azalan yang merupakan seorang Jurutera Eletrik di TNB.

Hari petang yang mula mendung dan gerimis mula menitik membasahi bumi Telok Panglima Garang. Muncul Adik Haseef mengambil kasut sekolah miliknya dan 2 abang sepupunya dari jemuran untuk mengelakkan dari dibasahi hujan.

IMG_20160110_120347“Haseef… mari salam dengan Doktor.” Dengan penuh kelembutan Encik Azalan memanggil anak saudaranya. Semasa memeluk tubuh kecil Haseef, hati saya sebak dan air mata menitis tanpa dipinta. Tubuh kecil yang diuji Allah dengan ujian yang teramat berat. Ujian yang belum tentu mampu dipikul oleh kita yang telah berada dialam dewasa.

Kata Dr Siti Sabariah, semenjak dibawa balik ke rumahnya dari Kuala Terengganu, Haseef tak menangis. Ada ketikanya bila bersendirian, Haseef akan membelek-belek gambar kenangan bersama 5 ahli keluarganya di skrin telefon bimbit. Gambar kenangan ketika mereka sekeluarga bercuti di Melaka sebelum kejadian. Ayah, Ibu bersama 3 kakaknya yang telah pergi mengadap Ilahi dalam tragedi pilu di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu.

Biasanya cepat-cepat Dr Siti Sabariah akan memeluk anak saudaranya yatim piatu ini. “Haseef sayangkan mereka, Mama juga sayangkan mereka…”

Mengimbas apa yang telah berlaku, Dr Siti Sabariah menceritakan, jarak tempoh masa 5 ahli keluarganya tenggelam dengan waktu Haseef dijumpai oleh orang awam adalah kira-kira 1 jam. Bermakna anak kecil ini telah melalui satu tempoh masa 1 jam bersendirian di tepi gigi air yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Tiada siapa yang menjadi saksi mata kejadian tragis itu kecuali Haseef seorang.

IMG_20160110_120235Dr Siti Sabariah sekeluarga yang menerima berita pilu ini terus bertolak ke Terengganu dari Selangor. Dalam perjalanan ke Terengganu, beliau menerima kiriman sekeping foto di skrin telefon bimbitnya yang memaparkan gambar jasad 5 ahli keluarganya yang terbaring kaku di tepi air terjun dengan budak baju merah (Haseef) terduduk di atas pasir. Foto pilu yang menyebabkannya menangis semahunya ketika dalam perjalanan sehingga suaminya berusaha untuk menenangkannya. “Kita bawak Haseef balik.” Kata suaminya.

“5 ahli keluarga yang kami kasihi telah pergi tetapi Allah mengantikannya dengan beribu saudara lain yang menyayangi Haseef.” Kata Dr Siti Sabariah dengan sayu.

Anak kecil ini agak pendiam tetapi terserlah kecerdikannya. Suatu hari terpancul soalan dari mulutnya diajukan kepada ibu saudaranya yang penyayang… “Orang dalam syurga tu macam mana ya? Pakai baju warna apa? Dia boleh rasa tak apa yang Haseef rasa? Boleh dengar tak apa yang Haseef cakap?”

Ketika anggota Polis yang menyiasat kes datang ke rumahnya dari Terengganu untuk mengesahkan kertas siasatan yang mereka buat, Haseef membaca dengan teliti kertas siasatan yang mencatatkan baris demi baris kronologi peristiwa kejadian. Anak kecil ini mampu mengingat dengan jelas bagaimana seorang demi seorang insan-insan bertakhta dihatinya ditenggelami Air Terjun Belukar Bukit.

IMG_20160110_120325Kata Dr Siti Sabariah, “Arwah Abang Halim seorang yang kuat beragama, dia inginkan ruang privasi yang jauh dari orang ramai untuk berkelah bersama keluarganya. Mungkin sebab itu dia pergi ke tempat yang tak ramai orang…” Takdir menentukan Air Terjun Belukar Bukit menjadi lokasi Arwah Abdul Halim Samian sekeluarga dipanggil mengadap Allah. Innalillah wainna ilaihi raajiuunn…

Benar sebagaimana yang dikatakan oleh Dr Siti Sabariah, Ayah, Ibu dan 3 kakak Haseef telah pergi tetapi Haseef masih mempunyai beribu saudara yang mengasihinya di dunia ini. Kita adalah salah seorang dari mereka.

Kelmarin, Sabtu 9 Januari 2016, bagi menunaikan amanah orang ramai yang menyumbang melalui Tabung Adik Haseef yang diuruskan oleh PAS Terengganu maka sumbangan tersebut Sebanyak RM15,000 telah diserahkan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu YB Ustaz Satiful Bahri Mamat kepada Adik Haseef sendiri dalam majlis ringkas dan sederhana yang turut dihadiri oleh Timbalan Pesuruhjaya 1 YB Dr Alias Razak, Setiausaha Hj Muhyiddin Abdul Rashid, Bendahari Cikgu M. Shukrimun Shamsuddin, Setiausaha Lujnah Kebajikan Abdul Hadi Mohamad.