Dua Tregedi Lemas; Nasihat Khidmat Malaysia Terengganu

1219

Dua tragedi kemalangan di dalam air yang meragut nyawa berlaku dalam masa 3 hari di negeri Terengganu adalah sangat menyedihkan.

Tragedi pertama di Air Terjun Belukar Bukit 3 hari lepas menyebabkan seorang anak berusia 9 tahun menjadi yatim piatu setelah ibu, ayah beserta 3 kakaknya mati lemas dalam satu insiden yang sangat menyayat hati.

Pagi ini, Isnin 21 Disember 2015, kira-kira jam 10 pagi, belum pun reda kita dengan kesedihan tragedi Belukar Bukit, Pantai Rhu 10 di Setiu pula dikerumuni orang ramai. 2 orang dikhuatiri lemas dan mangsa belum dijumpai setakat jam 12 malam ini.

Antara persamaan kedua-dua tragedi ini ialah, mangsa berasal dari negeri lain dan berada di Terengganu sempena musim cuti persekolahan.

Bagi pihak Khidmat Malaysia Negeri Terengganu suka saya mengingatkan bahawa negeri Pantai Timur termasuklah negeri Terengganu sekarang ini berada dalam tempoh musim tengkujuh sekalipun banjir masih belum berlaku.

Dalam tempoh bulan Oktober sehingga Mac biasanya cuaca berada dalam keadaan tidak stabil serta sukar untuk dijangka.

Ada ketikanya laut kelihatan tenang tapi dengan tiba-tiba ada ombak besar yang melanda dan menarik mangsa ke tengah laut.

Ada ketikanya air terjun mengalir indah dan seronok untuk mandi manda tapi kepala air datang tanpa diduga yang boleh mengundang petaka.

Lantaran itu Khidmat Malaysia Terengganu menasihatkan supaya segala aktiviti perkelahan atau rekreasi yang melibatkan pantai, air terjun atau sungai dihentikan untuk sementara demi keselamatan bersama.

Khidmat Malaysia juga merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa kedua-dua tragedi Belukar Bukit dan Rhu 10. Semoga Allah mengurniakan kesabaran dalam menghadapi saat-saat sukar sebegini.

Tahniah dan penghargaan kepada semua yang terlibat terutamanya anggota-anggota Jabatan Amal Malaysia yang memainkan peranan penting membantu pihak berkuasa dalam operasi mencari dan menyelamat di Belukar Bukit serta di Pantai Rhu 10 dengan penuh disiplin dan komitmen.

Semoga segalanya diganjari Allah dengan sebaiknya.

Dr Azman Ibrahim
Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Terengganu
21 Disember 2015