Oleh : Ahmad Amzad Hashim
Saya dapati ada kecenderungan pihak tertentu memperbanyakkan perbincangan khususnya di alam maya berhubung aspek metafisik yang berkaitan adanya ‘gangguan gangguan’ makhluk lain yang dijadikan subjek punca kadar kemalangan dan kematian oleh kemalangan yang tinggi di LPT2.
Ini sehingga menutup perhatian kepada isu sebenar berkait kondisi fisikal LPT2 berkenaan yang dalam kawalan pihak berkuasa untuk melakukan pembetulan dan penambahbaikan segera sebelum lebih banyak nyawa rakyat terbang melayang.
Telah diumumkan kerajaan arahkan dibuat audit terhadap keadaan dan keselamatan LPT2. Ia sepatutnya akan diselesaikan dalam tempoh seminggu.
Saya rasa rakyat berhak menuntut supaya audit itu disempurnakan seperti ditugaskan.
Dan wajib diterjemah segera kepada tindakan pembetulan segera yang mengurangkan risiko kemalangan.
Rakyat kecewa. Budaya laporan audit dalam negara ini bukan bersifat menterjemahkan laporan audit ke mekanisma tindakan pembetulan.
Tetapi semata mata sebagai memenuhi keperluan pelaporan yg akan diarkibkan bersama sama fail fail lama lain yang bertimbun tak dipedulikan orang.
LPT2 kita bercakap tentang audit fisikal lebuhraya yg mula digelar ramai Lebuhraya Paling Teruk (LPT).
Rakyat dah muak dengan Laporan Ketua Audit Negara (KAN) setiap tahun yang bagai tidak dipedulikan sesiapa sekalipun setiap tahun mendedahkan pelbagai kesalahan besar urus tadbir kerajaan.
Ini musim perbahasan di Parlimen Bajet 2016 yang tiba bersekali dengan Laporan Ekonomi Negara yang seharusnya bersekali dengan laporan audit Ketua Audit Negara.
Jawatankuasa Kira Kira Wang Awam (PAC) dan SPRM pun pemimpin BN lekehkan sehingga boleh berlaku gangguan dan intimidasi. Ketua Audit Negara, begitu juga. Laporan KAN dipandang sebelah mata sahaja.
Gangguan halus di LPT2 perlu juga ditangani. Solat Hajat dan doa perlu dibuat. Yang memandu perlu banyakkan berzikir dan berselawat. Jangan terlalai. Jika ada stereo kereta, pasang bacaan Quran. Bukan kuatkan nyanyian lagu pop.
Kerajaan jangan sampai dipejam mata kecacatan menjolok mata LPT2 yang semalampun saya lalui dengan perasaan berdebar oleh permukaan yang beralun dan macam macam lagi yang mendera rim tayar kereta.
LPT2 ini khabarnya sudah berada di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia. Sudah jadi tanggungjawab persekutuan.
Kerajaan negeri Terengganu beri isyarat mahu baiki. Pastikan kerajaan pusat jangan pula lepas tangan tanggung jawab kewangan setelah wang kerajaan Terengganu dibelanjakan RM1.8 billion untuk pembinaan LPT2 yang sepatutnya dibiayai kerajaan persekutuan sepenuhnya.
Dan kalau boleh, wakil rakyat UMNO tak usahlah lagi beri respon tak bertanggungjawab bila ditanya isu keselamatan seperti jawapan “kalau tak puas hati, YB tak payah guna LPT!”.
***Hj Ahmad Amzad Hashim ialah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat










