Kemalangan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dikatakan adalah berpunca dari kecuaian pemandu. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) 70 peratus dari keseluruhan 339 kes kemalangan (Februari hingga 2 Jun) adalah berpunca dari sikap pemandu. Manakala selebihnya adalah kerana antaranya faktor binatang dan cuaca. LLM dengan tegasnya mengatakan bahawa keadaan LPT2 adalah baik secara amnya dengan ada sedikit kekurangan kecil di bahagian struktur dan sebagainya. Manakala dalam satu laporan lain pula, kerajaan sekali lagi akan mengeluarkan sebanyak RM6 juta bagi kerja-kerja baik pulih di jajaran sepanjang 180 kilometer itu. Dilaporkan Jabatan Kerja Raya telah mengenal pasti 27 lokasi yang dikatakan mengancam keselamatan pengguna LPT2. Kesemua kerja baik pulih ini dijangka siap sebelum aidilfitri ini, kata Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu, Ir Rosli Othman.
Sebenarnya isu ini sudah tiga minggu yang lalu dibincangkan. Saya secara sengaja mengetengahkan isu LPT2 ini pada waktu ini kerana saya yakin, ini adalah masa yang terbaik bagi menyedarkan rakyat kerana majoriti mereka akan melalui LPT2 untuk pulang berhari raya. Sambil pulang, sambil mengambil faedah dari catatan saya ini. Terdapat percanggahan ketara dari kenyataan exco dan LLM itu. Jika LPT2 dalam keadaan baik, kenapa mesti ada 27 tempat yang dikenal pasti untuk dibaik pulih? RM6 juta bukan satu jumlah yang sedikit, boleh diberikan duit raya kepada fakir miskin sebanyak RM500 seorang bagi 12 ribu orang. Saya lebih mempercayai yang pembukaan tergesa-gesa ini tidak lain hanyalah bagi menunjukkan ‘gah’ kerajaan negeri kepada rakyat. LPT2 sudah terlalu lewat siapnya dari jadual asal. Tahun lepaspun hanya sebahagian sahaja yang dibuka dan mengundang kesesakan yang teruk di sekitar Jabor dan Cheneh. Oleh itu jika tidak siap sebelum hari raya ini, pastilah akan berkumandang pula suara-suara rakyat bertanyakan bila mahu siap LPT2 ini? Kos berbillion-billion tapi tak siap-siap. Pastinya kerajaan akan merasa malu. Maka, sebelum hari raya, kerajaan mestilah membuka semua laluan LPT2 itu bagi ditunjukkan kepada rakyat dan kerajaan memilih 31 Januari sebagai tarikh pembukaannya.
Tetapi malangnya, dengan tindakan gelojoh itu, telah menyebabkan rakyat menanggung akibatnya. Sudahlah duit rakyat Terengganu sebanyak RM1.8 billion digunakan ketika pembinaannya yang jumlah keseluruhannya sebanyak RM4 billion lebih, ditambah pula dengan keadaan LPT2 yang bermasalah di beberapa tempat, diguna lagi duit rakyat RM6 juta tetapi akhirnya nyawa rakyat yang diambil duit itu pula menjadi taruhan. Ir Rosli juga mengatakan bahawa masalah LPT2 ini juga dialami oleh lebuhraya lain, tetapi kerana LPT2 lebuhraya baharu, maka ia menjadi perhatian. Jika beginilah jawapan atau alasan dan sikap seorang Exco berkaitan dengan isu nyawa dan wang rakyat, rakyat boleh menilai sendiri yang ianya adalah alasan amat memalukan. Langsung tidak disertakan dengan statistik kemalangan dan kerosakan-kerosakan di lebuhraya-lebuhraya lain yang dia kaitkan itu. Terus memperbodohkan rakyat dengan jawapan-jawapan melepaskan diri.
Saya tidak pasti adakah akan bertambah kos pembaikian ini atau tidak. Tetapi saya hampir pasti kos ini bertambah jika ianya hanya untuk lebuhraya sahaja tanpa mengira simpang keluar ke destinasi seperti Bukit Payong. Kerana Ir Rosli pernah berjanji kepada saya untuk mengajak saya meninjau bersama-sama dengan beliau, persimpangan keluar ke Bukit Payong yang sentiasa dilanda banjir ketika saya mengemukakan permasalahan itu di Sidang DUN tahun lalu. Saya masih menunggu kedatangan beliau ke Bukit Payong dan saya percaya satu peruntukan lain pula akan dikeluarkan jika dia mahu membaiki jalan itu.
Saya harap rakyat sedar dan akan turut bertindak mengenepikan BN pada PRU14 nanti kerana terlalu teruk menguruskan wang rakyat dan sewenang-wenangnya meleburkannya. Walahua’lam.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
27 Ramadhan 1436 bersamaan 14 Julai 2015










