Rundingan damai Yaman di bandar Switzerland, Geneva ‘disifatkan’ telah gagal, apabila Menteri Luar dalam kerajaan buangan menyalahkan wakil Houthi kerana enggan bertemu dengan mereka.
Menteri Luar Riad Yassin memberitahu Al Jazeera pada hari Jumaat bahawa delegasinya merancang untuk meninggalkan rundingan dan kembali ke Arab Saudi pada hari Sabtu.
“Sehingga masa ini kita belum mencapai apa-apa. Malangnya, Houthi masih tidak dipatuhi apa-apa, Tidak ada kemajuan untuk masa ini. Kami tidak menerima apa-apa cadangan.”Yassin memberitahu dan menambah wakil Houthi bahkan enggan meninggalkan hotel mereka di Geneva.
Berikutan kegagalan itu, wakil khas PBB mengenai Yaman Ismail Ould Cheikh Ahmed, berkata gencatan senjata mestilah berjalan sebelum pusingan baru rundingan bermula.
Beliau berikrar akan “melipatgandakan usaha” untuk mencapai gencatan senjata, dan mengharap perjanjian damai boleh dicapai tidak lama lagi.
Jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata tiada tarikh ditetapkan untuk pusingan kedua rundingan tetapi “perbincangan masih boleh berlaku tanpa pertemuan di Geneva.”
“Kami mengambil hari demi hari ini, langkah demi langkah,” kata Dujarric kepada pemberita di ibu pejabat PBB di New York.
Beliau berkata Ould Cheikh Ahmed akan kembali ke New York untuk memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan sebelum mungkin memulakan satu lagi perjalanan ke rantau itu untuk rundingan lanjut.
Jurucakap Jabatan Negara AS John Kirby berkata perbincangan itu adalah permulaan yang berguna untuk sesuatu yang mungkin akan menjadi satu proses yang panjang.
Sehubungan itu PBB membuat rayuan pada hari Jumaat sebanyak $ 1.6 bilion dana untuk membantu berjuta-juta orang yang memerlukan bantuan di negara yang dilanda perang tersebut, dan memberi amaran tentang bencana yang akan tiba, sekiranya bantuan tidak disampaikan.
Jens Laerke, jurucakap agensi kemanusiaan PBB, memberitahu, kewangan yang diperlukan adalah untuk menangani “keperluan kemanusiaan yang sentiasa meningkat di Yaman” sehingga akhir 2015.
Beliau berkata lebih 21 juta orang, atau 80 peratus daripada jumlah penduduk, kini dianggarkan memerlukan beberapa bentuk bantuan kemanusiaan.
Sementara itu, perang terus meletus di tanah air Yaman apabila serangan udara pagi Jumaat disasarkan ke atas bandaraya Sanaa, bandar selatan Aden dan wilayah Lahj serta Jouf, kata pegawai dan saksi.
Sekurang-kurangnya 10 orang awam terbunuh dalam serangan ke atas kubu kuat pemberontak syiah utara, Saada, kata saksi.
Pegawai-pegawai bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media. Saksi-saksi berkeras tidak mahu dikenali kerana takut hukuman.
Para pemberontak Syiah Houthi dan penyokong bekas Presiden Ali Abdullah Salleh telah merampas ibu negara, Sana’a, pada bulan September.










