Oleh : NM
KUALA SELANGOR – Setelah sembilan bulan jawatankuasa kerja Pas dan seluruh jentera parti selepas Muktamar Pas ke 60 melaksanakan 78 para kandungan Ucapan Dasar yang gagaskan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Pas , hari ini sekali lagi perwakilan datang dari seluruh negara bagi menerima gagasan baru dari Presiden parti.
Menariknya Muktamar pagi ini bakal menarik perhatian gerakan Islam seluruh dunia apabila buat pertama kali jawatan Presiden Parti Islam SeMalaysia dipertandingkan dan dicabar oleh seorang tokoh bekas Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia.
Jika muktamar ke-60 lalu dibuat di tempat bermulanya Sarekat Islam di selatan tanahair, yang dipimpin oleh Haji Ibrahim Sidin dari Singapura, pastinya seluruh perwakilan dan pemerhati tertanya apakah faktor sejarah atau faktor lain kenapa Muktamar hari ini bertandang ke sini.
Muktamar yang lepas juga membuka mukaddimahnya dengan ucapan takziah dan kebersamaan perasaan duka kepada keluarga mangsa tragedi pesawat MH370 dan MH17 yang mengemparkan seluruh rakyat Malaysia meratapi tragedi yang sangat mengejutkan itu.
Tahun ini pula ahli Pas dikejutkan dengan pertembungan dalaman dan kacau ganggu dari rakan Pakatan sendiri. Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat sudah melepasi proses ini dan pastinya tumpuan terarah kepada pemilihan semua jawatan di dalam Pas bagi memacu satu gerakan Islam politik dan siasah tunggal di negara ini.
Muktamar kali ini juga, muktamar pertama selepas Parti ini kehilangan Mursyidul am, Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kali ini juga menyaksikan legasi Al marhum Tuan Guru diteruskan oleh anakandanya Nik Abduh sebagai Ketua Pemuda Pas Malaysia.
“Terus Beristiqamah” tema ke-60 di Johor hampir setahun lalu mungkin menjadi tema kali ini atau sebaliknya kerana tempoh penggal sesi Jawatankuasa yang lalu agak singkat.
Ucaptama hampir 2 jam sesi lalu, bakal mengulangi gagasan dari kotak pemikiran Presiden memacu Pas ke persada politik yang lebih maju dan berhalangan . Seluruh rakyat Malaysia menanti apakah saranan dan adunan isi ucapan Presiden seiringan dengan harapan rakyat untuk menjadi sandaran menghadapi politik semasa tanah air.










